‘Sudah Tiba Masanya Politik Bukan Dimonopoli Orang Sama’ – Syed Saddiq Mahu Tubuh Parti Baharu

Sumber: FMT

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan menyertai parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baru ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Muar itu membayangkan beliau akan menubuhkan satu gerakan pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada orang muda bagi memastikan suara dan kebimbangan golongan itu didengari.

“Sekiranya di Thailand mereka boleh menubuhkan Futur Forward, di Perancis mereka boleh menubuhkan En Marche’ di bawah Macron, saya rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda.

“Daripada teknokrat, profesional, ahli politik muda pelbagai latar belakang untuk bersatu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen.

“Pada akhirnya, anak muda tidak boleh dipandang ringan lagi. Sudah sampai masanya untuk politik tidak dikawal dan dimonopoli orang sama,” katanya kepada Channel News Asia.

Syed Saddiq memilih untuk menempuh jalan yang berbeza setelah secara terbuka menyatakan pada 7 Julai bahawa beliau tidak akan lagi mencabar pemecatannya dari Bersatu.

Syed Saddiq Tubuh Parti Baharu
Sumber: Malay Mail

Dr. Mahathir, bekas pengerusi PPBM, dilaporkan berkata beliau menubuhkan parti politik Melayu bebas yang baru kerana perjuangan parti lamanya diketepikan.

Apabila Mahathir mengumumkan parti barunya, beliau ditemani anaknya, Mukhriz dan bekas pemimpin PPBM, Marzuki Yahya, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah serta Shahruddin Md Salleh, tetapi Syed Saddiq tidak kelihatan.

Sumber: FMT