
Sudah Tiba Masanya Mahasiswa Dalam Negara Dibawa Pulang Ke Kampung Masing-Masing
Sudah tiba masanya mahasiswa dalam negara dibawa pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
Dengan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 28 April ini, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil inisiatif bawa pulang semua mahasiswa yang terkandas di kampus dalam negara pulang ke kampung halaman masing-masing.
BACA: Perintah Kawalan Pergerakan: Rakyat Malaysia Sedang Lakukan Yang Sama Seperti Penduduk Wuhan
Jika sebelum ini, kerajaan berusaha membawa pulang mereka di luar negara, bagi Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq mencadangkan agar saringan kesihatan dan pemeriksaan dilakukan kepada pelajar sebelum mereka dibenarkan pulang.
Harus dilakukan secara berperingkat dengan pengangkutan khusus dan bukannya kenderaan individu, medium berkenaan perlulah dilaksanakan tanpa mengakibatkan penularan kes COVID-19.
Turut dipersetujui oleh orang ramai, rata-ratanya bersetuju kerana bantuan makanan yang disalurkan kepada mahasiswa yang terkandas boleh diberikan kepada pihak yang lebih memerlukan seperti barisan hadapan dan mereka yang hilang punca pendapatan.
Setakat ini, seramai 74,530 orang pelajar dilaporkan terkandas dan menginap di kampus susulan daripada kuat kuasa PKP yang dijalankan sejak 18 Mac lalu.
Menghampiri bulan Ramadan, mahasiswa menggesa agar kerajaan segera mencari jalan untuk membawa mereka pulang ke pangkuan masing-masing secara berperingkat sebelum tibanya Aidilfitri yang dijangka akan disambut pada akhir Mei hadapan.
Gabungan yang membabitkan 14 persatuan pelajar iaitu Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI); Kelab Mahasiswa Penyokong PAS (SiswaPAS), Kelab Mahasiswa UMNO (UMNOSiswa), Kesatuan Perwakilan Mahasiswa Malaysia (KPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gerakan Pembebasan Akademik (GPA), Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Mahasiswa AMANAH Nasional; Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa), Nadi Mahasiswa Malaysia dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), mengesyorkan beberapa cadangan yang bboleh dilaksanakan, antaranya:
- Pelajar positif COVID-19 tidak dibenarkan pulang dan dihantar ke pusat kuarantin.
- Sekiranya lokasi kampung mahasiswa berada dalam kawasan zon merah, tindakan akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan pergerakan pulang mengikut prosedur SOP yang ditetapkan.
- Kebajikan mahasiswa tetap dijaga sebelum dihantar pulang.
Memberi respon kepada isu ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberitahu mereka sedang meneliti kaedah terbaik bagi menghantar pulang pelajar yang terkandas di kampus ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat dan sihat.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad yang baru-baru ini terlibat dalam kontroversi menganjurkan pertandingan TikTok memberitahu perkara berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri yang akan dilaksanakan pada hari ini.
https://www.facebook.com/datonorainiahmad/posts/2627026110757988
Terdahulu, Menteri Besar Selangor memberitahu mereka bersedia untuk membawa pulang anak Selangor yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Sabah dan Sarawal sekiranya berkeperluan dan perkara berkenaan sudah pun dibincangkan bersama syarikat penerbangan.