
“Sudah 20 Tahun Orang Masih Ingat Iklan Itu”, Wan Maimunah Berhasrat Mahu Jumpa ‘Peragutnya’
Masih ingatkah lagi dengan sebuah iklan tempatan berjudul ‘Waspada Peragut’ yang dilakonkan oleh pelakon veteran, Wan Maimunah?
Tidak dinafikan, iklan tersebut sering kali ditayang di televisyen hingga kita sendiri boleh menghafal babak-babak iklan tersebut. Sehinggakan, iklan tersebut dijadikan ‘troll’ oleh warganet.
Wajah lelaki yang melakonkan watak peragut itu menjadi popular di media sosial gara-gara ramai yang suka menjadikan ia sebagai bahan meme.
Oleh sebab iklan peragut masih popular walaupun sudah hampir 20 tahun, Wan Maimunah berhasrat untuk bertemu kembali dengan individu yang menjadi peragut itu.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ibu berkata, walaupun sudah hampir dua dekad, iklan lakonannya itu masih lagi memiliki impak.
“Walaupun sudah hampir 20 tahun, ibu sendiri tak sangka yang orang masih suka dan ingat setiap babak dimuatkan dalam iklan itu.
“Kalau ada peluang, saya teringin sangat nak berjumpa dengan individu yang jadi ‘peragut’ itu. Mana tahu, kalau dia membaca berita ini, sila hubungi saya” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, video iklan khidmat masyarakat itu sedikit sebanyak dapat memberi peringatan kepada orang ramai mengenai kes ragut yang tidak pernah selesai sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, Wan Maimunah yang juga terkenal dengan watak air mata berkongsi pengalamannya ketika berlakon dalam iklan khidmat masyarakat itu, beliau sendiri mahu melakukan adegan aksi.
“Pihak produksi nak sediakan tilam untuk babak saya terjatuh selepas diragut, tapi saya tolak kerana nak bagi nampak realisitik.
“Lelaki yang berlakon sebagai “peragut’ itu pun bukanlah pelakon. Jadi, ibu yang ajar dia bagaimana untuk menampakkan adegan ragut itu seakan realistik,” katanya.
Harap, Wan Maimunah dapatlah berjumpa dengan pelakon peragut berkenaan!
BACA: ‘Throwback’ Kompilasi Iklan Klasik Zaman 80/90-an Yang Menggamit Memori