Minyak Masak

Subsidi Minyak Masak Dimansuhkan, Ikuti Beberapa Tip Penjimatan Mudah Yang Anda Boleh Lakukan Di Dapur

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti 2 hingga 5 kilogram akan mula dimansuhkan mulai 1 Julai seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Meskipun subsidi minyak masak berpaket masih dikekalkan, timbul kegusaran di kalangan orang ramai yang menjangkakan trend kenaikan harga barang dapur akan terus berlaku.

Bagi meredakan sedikit kerisauan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan telah menyenaraikan beberapa tip penjimatan minyak masak yang boleh diamalkan oleh setiap isi rumah di dapur masing-masing.

Perkongsian yang dibuat oleh Dr Kamarul di Facebooknya ini telah mendapat lebih 5 ribu Likes dan dikongsi oleh warganet sebanyak hampir 2 ribu kali setakat ini.

Jom ikuti perkongsian yang sangat bermanfaat dari Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini.

Minyak Masak

Harga barangan dapur dah semakin meningkat, termasuk harga minyak masak. Jadi apakah yang boleh dilakukan sebagai langkah penjimatan?

  1. Tukar menu gorengan kepada menu rebusan, singgang, renehan, atau stim. Selain lebih menjimatkan, ia juga lebih sihat.
  2. Bakar atau panggang sebagai alternatif goreng. Ia gunakan minyak yang sedikit, tetapi masih boleh hasilkan makanan yang sedap.
  3. Gunakan kuali kalis lekat (non-stick), untuk membolehkan anda membuat gorengan guna minyak yang sedikit (pan fry) tanpa lekat.
  4. Boleh pertimbangkan untuk dapatkan “air fryer”. Harganya kini bermula sekitar RM150. Ini perlukan sedikit modal.
  5. Jika “deep dry” makanan bersalut tepung, pastikan suhu minyak 180-190°C sebelum menggoreng untuk elak tepung menyerap minyak.
  6. Jangan goreng makanan terlalu banyak dalam satu masa. Lebih banyak hendak digoreng serentak, lebih banyak minyak diperlukan.
  7. Elak panaskan minyak sehingga terlalu panas kerana boleh merosakkan minyak dan menjadi ia tidak selamat untuk diulang guna.
  8. Tak usah campurkan minyak baru kepada minyak lama. Ia akan mencemarkan minyak baru, dan memendekkan hayat selamatnya.
  9. Tapis, sejukkan, dan simpan minyak yang hendak diulang guna di dalam bekas kedap udara. Pastikan tiada bahan terampai.
  10. Menjual semula minyak masak terpakai untuk diproses menjadi biodiesel. Harga minyak masak terpakai adalah sekitar RM2-3/kg.

Dalam kita berjimat cermat dalam penggunaan minyak, kita masih perlu utamakan kesihatan. Elakkan terlalu banyak ulang guna minyak gorengan.

Apakah tanda-tanda minyak masak sudah tidak boleh digunakan lagi untuk ulang goreng?

◾️Warna bertukar perang pekat.
◾️Minyak menjadi lebih likat.
◾️Minyak berbau tengik.
◾️Banyak asap terhasil ketika dipanaskan.
◾️Warna makanan yang digoreng terlalu gelap.
◾️Rasa makanan yang digoreng tidak sedap.

Semoga bermanfaat!

Kamarul Ariffin Nor Sadan
Orang Minyak

BACA: Harga Siling Ayam, Telur Dan Subsidi Minyak Masak Mansuh, Ini Cara-Cara Untuk Kita Jimat Berbelanja

Sumber: Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan