Subjek Sains, Matematik Kembali Diajar Dalam Bahasa Inggeris – Dr Mahathir

PPSMI Dikembalikan Semula
Sumber: Malaysia Kini

Pemangku jawatan Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir mengumumkan untuk kembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam sistem pendidikan negara ini.

Memetik laporan Awani, Dr Mahathir berkata subjek Sains dan Matematik kebanyakannya datang dari luar negara melalui medium bahasa Inggeris dan disebabkan itu kementerian pendidikan akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran dua subjek tersebut.

Katanya, Sains dan Matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini.

“Itu bermaksud kita tidak akan mengelirukan rakyat kerana kita mendapati mereka yang belajar Sains dalam Bahasa Melayu sukar untuk mendapatkan pekerjaan di tempat bahasa Inggeris digunakan,” katanya kepada pegawai Kementerian Pendidikan dalam satu mesyuarat tertutup di Putrajaya, Khamis.

Beliau turut mempunyai beberapa idea untuk dilaksana dalam sistem pendidikan negara, walaupun sedar ada di antaranya tidak mudah dipersetujui ramai pihak.

“Seperti yang anda tahu, rakyat negara kita adalah berbilang kaum. Ia mungkin menjadi masalah kepada kita, tetapi juga ia adalah sesuatu yang boleh menyumbang ke arah pembangunan negara kita,” katanya.

Dasar PPSMI dilaksanakan secara penuh di seluruh negara pada 2008 yang mana ia dipengerusikan Dr Mahathir dan dipersetujui Jemaah Menteri pada 2002.

Bagaimanapun, ia telah dimansuhkan secara berperingkat pada 2012 setelah mendapat kecaman beberapa pihak termasuk parti politik, ibu bapa, dan cendekiawan. Namun, bahasa Inggeris masih terus menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan tingkatan Enam.

PPSMI Dikembalikan Semula
Sumber: Headtopics

Pada Julai 2019, kerajaan sudah pun berhasrat untuk mengkaji semula pelaksaan PPSMI dengan menggunakan sistem baharu.

Ketika itu Dr Mahathir berkata rakyat tidak boleh menunggu orang lain menterjemahkan ilmu Sains dan Matematik ini ke dalam bahasa Melayu semata-mata kerana kedua-keduanya pantas berkembang seperti pengenalan IT dan ilmu kecerdasan buatan (AI). Justeru, bahasa Inggeris perlu dipelajari dan dikuasai secara mendalam.

Namun berbeza pula ketika Dr Mazslee Malik memangku jawatan Menteri Pendidikan yang mana dasar PPSMI tidak akan dikembalikam semula kerana ia merupakan program lama.

Sumber: Awani