Itali Sunyi Sepi Hospital Berperang

Suasana Hospital Itali Bagai Medan Perang, Terpaksa Pilih Siapa Yang Perlu Dirawat Dan Dibiarkan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Walaupun China sudah mula menunjukkan penurunan kes wabak Covid-19, namun di negara- negara lain seluruh dunia menunjukkan peningkatan yang mendadak dan mencemaskan.

Itali mencatat angka kematian sebanyak 168 orang dalam tempoh 24 jam dengan 631 orang disahkan telah meninggal dunia selepas diserang virus itu setakat ini. Jumlah itu menunjukkan kadar kematian tertinggi dalam tempoh sehari dan menjadi negara terburuk di Eropah sejak kes pertama dilaporkan pada 31 Januari.

Susulan itu, Perdana Menteri Itali terpaksa mengumumkan perintah berkurung kepada lebih 60 juta penduduk yang berkuatkuasa sehingga 3 April ini. Menerui perintah itu, orang ramai yang mahu pergi ke mana-mana perlu mengisi borang khas dengan menyatakan alasan berbuat demikian.

Seorang pengguna Facebook berbangsa Itali memuat naik hantaran mengenai keadaan di sana. Pertama kali dalam sejarah, negara yang menjalani ekonomi perindustrian terpaksa melalui situasi sebegini.

Kata Andrea Pastorelli, pada awalnya mereka tidak menganggap perkara itu serius dan menganggap media hanya menakut-nakutkan penduduk tentang virus berkenaan. Namun, aktiviti harian tidak dapat diteruskan seperti biasa apabila keadaan itu semakin jelas bahawa virus itu memang benar mudah tersebar dan membunuh lebih daripada yang kita jangka.

Masalah semakin serius apabila virus berkenaan merebak dengan pantas dan hospital makin lama makin dipenuhi pesakit ini.

Itali Sunyi Sepi Hospital Berperang

“Ramai yang datang ke hospital dengan keadaan sukar bernafas dan memerlukan alat pernafasan. Setiap orang memerlukan respirator selama sekurang-kurangnya 6/8 hari”

“Kami mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan awam yang terbaik di dunia, dan pusat epidemik di Milan, salah satu kawasan terkaya dan maju di dunia, dengan beberapa hospital terbaik di Eropah, dan kini sangat hura-hara. Hari ini mereka mengumumkan bahawa mereka perlu memilih siapa yang harus dirawat dan siapa yang akan dibiarkan mati. Ia seperti perang,” ujar Andrea.

Andrea berasa sedih dengan keadaan negaranya. Katanya, negara-negara jirannya masih tidak bertindak banyak bagi menghadapi situasi ini dan Amerika Syarikat dilihat tidak bersedia lagi tentang isu ini.

Nasihatnya kepada orang ramai, situasi ini amatlah serius. Jika tidak, masakan China hendak membina hospital yang siap dalam masa beberapa hari dan Itali tidak akan mempertaruhkan keseluruhan ekonomi dan berjuta-juta mata pencarian jika ia tidak serius.

Jika kita serius memainkan peranan dalam menentang virus ini, wabak ini kemungkinan akan reda dengan cepat.

Sumber: Andrea Pastrorelli