Kluster Kelab Malam Korea Selatan

Stigma Homofobia Bantut Korea Selatan Tangani COVID-19 Melibatkan Kluster Kelab Malam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Korea Selatan kembali merekodkan peningkatan kes baharu positif COVID-19 secara mendadak.

Menurut Institusi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Negara (KCDC), setakat Selasa, sejumlah 102 kes yang dilaporkan berkaitan kluster kelab malam di Seoul.

Timbalan Pengarahnya, Kwon Joon-wook, memaklumkan ketika ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku bergantung kepada kepantasan pengesanan jangkitan dan kemungkinan mereka sudah menyebabkan penularan yang lebih luas.

Semua kelab dan bar di Seoul diarah tutup, selepas seorang lelaki berusia 29 tahun disahkan positif COVID-19 selepas menghabiskan masa di lima bar dan kelab malam, hujung minggu lalu.

Walau bagaimanapun, strategi ‘tampil, jalani ujian’ yang telah membantu negara itu membendung wabak COVID-19 telah menemui halangan berikutan wujud stigma terhadap golongan homoseksual.

Korea Selatan adalah model global dalam usaha membendung wabak itu, namun hujung minggu lalu, ibu kotanya dan wilayah Gyeonggi yang berdekatan serta Incheon mengarahkan penutupan semua kelab dan bar selepas ledakan kes baharu mencetuskan kebimbangan gelombang kedua.

Kejadian itu berlaku ketika sebahagian Eropah memulakan pembukaan semula dengan penuh hati-hati, di mana pakar kesihatan mengingatkan bahawa langkah yang terlalu cepat akan menyebabkan peningkatan jumlah jangkitan.

Dalam penularan terbaru Korea Selatan yang dikaitkan dengan kelab, termasuk beberapa kelab yang sering dikunjungi pelanggan LGBT, pegawai kesihatan berusaha mengesan lebih 5,500 orang yang mengunjungi kelab-kelab itu antara 24 April dengan 6 Mei.

Kluster Kelab Malam Korea Selatan

Tetapi lebih separuh tetap tidak dapat dikesan, sementara jangkitan yang dikaitkan dengan kelab malam terus meningkat.

Berdasarkan tinjauan Gallup 2017, 58 peratus orang Korea menentang perkahwinan sesama jenis. Pandangan itu diperkuat oleh Presiden Moon Jae-in yang menjadikannya sebahagian daripada kempennya.

“Ada peningkatan diskriminasi dan permusuhan yang cukup besar terhadap golongan homoseksual.

“Itu membuatkan orang yang dijangkiti (di kelab gay) lebih cenderung enggan tampil secara sukarela untuk mengikuti ujian Covid-19,” kata Kwak Hye-weon, seorang profesor di Universiti Daekyeung.

Ketika ini, pihak berkuasa Korea Selatan menggunakan data telefon bimbit untuk menjejaki pengunjung kelab malam di Seoul, dalam usaha menangani kluster koronavirus, malah berjanji merahsiakan identiti mereka yang diuji disebabkan homofobia dalam masyarakat meningkat di sana.

Sumber: CNN