
Sogokan Hingga RM3,500 Sebulan Punca Peniaga Haram Masih Berleluasa Di Sungai Buloh
Peniaga Haram Berleluasa Di Sungai Buloh.
Baru-baru ini Malaysia digegarkan dengan pendedahan berani pemilik dan pengasas rangkaian Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali Asri Janggut mengenai isu perjudian di Sungai Buloh selain kegiatan jualan rokok seludup yang dipandang sebelah mata oleh pihak berkuasa.
Insiden ini menjadi panas hingga mendapat perhatian dari Ketua Polis Negara yang mengadakan pertemuan dengan Asri Janggut pada 10 Ogos. Malah Ketua Polis Selangor menegaskan bahawa Asri tidak akan dipanggil bagi merakam percakapan kerana beliau adalah pemberi maklumat dan bukan pesalah.
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan pihak berkuasa cuba lindungi premis perjudian haram di situ dan telah menahan tiga pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Nilai sogokan RM300 – RM3,500 sebulan
Didapati, sogokan bulanan di antara RM300 hingga RM3,500 bagi setiap premis, dipercayai menjadi punca perniagaan haram dan tanpa lesen berleluasa di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.
Memetik sumber BH, nilai sogokan yang dibayar kepada anggota penguat kuasa yang mengawasi kawasan itu adalah bergantung kepada saiz premis dan jenis perniagaan yang dijalankan.
Antara premis yang membayar sogokan itu termasuk kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai yang menjalankan perniagaan di tempat tidak dibenarkan dan premis perjudian.
Siasatan itu juga telah menahan seorang peniaga rokok seludup keturunan Acheh yang tidak mempunyai sebarang dokumen. Mereka sebagai peniaga haram itu beroperasi sejak tahu lalu, membayar RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelak sebarang tindakan.
Malah, anggota penguat kuasa yang menerima sogokan itu juga berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan yang menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan telah diketahui awal oleh peniaga-peniaga haram.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung aktiviti rasuah di kalangan penguat kuasa tampil memberikan kerjasama.
Sumber: BH
Trending now



