
Skim Tidak Berpencen Perkhidmatan Awam Bakal Dilaksana Bermula 2020
Perkhidmatan awam merupakan satu pekerjaan yang menjadi buruan orang ramai terutamanya graduan lepasa universiti kerana menawarkan skim pencen yang lebih terjamin kepada anggotanya.
Dengan pelbagai keistimewaan yang diberikan kepada penjawat awam membuatkan jumlah kakitangan semakin ramai, ditambah had usia penduduk yang semakin panjang menyebabkan kos pencen dalam sektor awam menjadi isu yang semakin kritikal.
Susulan itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah berkata lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat dibawah skim tetap dan berpencen, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak (tidak berpencen) yang ditambah baik.
Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Katanya, seiring dengan pelaksanaan skim kontrak itu, pihaknya juga melihat kemungkinan untuk menawarkan pelbagai insentif, gaji lebih baik dan perlindungan kebajikan kepada lantikan baharu penjawat awam yang dilantik menerusi skim berkenaan.
Pihaknya akan memastikan skim perkhidmatan baharu penjawat awam itu akan lebih menarik dan dinamik serta pada masa sama penjawat awam baharu akan berasa terpelihara dan terjamin biarpun hanya lantikan kontrak.
“Lantikan kontrak mungkin tidak menikmati kelebihan macam skim lantikan tetap dan berpencen sekarang seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan, namun faedah tersebut mungkin diterjemah dalam bentuk elaun lebih tinggi,” katanya.
Manakala penjawat awam sedia ada mungkin diberi pilihan untuk beralih ke skim lantikan kontrk baharu itu. Dalam pada itu, Borhan berkata, kaedah mengurangkan bebanan pencen bagi kerajaan sudah pun dilaksanakan tetapi bukan dalam skala besar contohnya dalam perkhidmatan ATM.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan masih dalam peringkat kajian dan akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk persetujuan.
Sumber: FMT, Sinar Harian