
SK Taman Awana Jemput Ultraman Jadi Penyambut Kehadiran Pelajar Tahun 1
Melangkah ke Tahun 1 dan tadika membawa pelbagai rasa untuk kanak-kanak kerana akan menghadapi perbezaan suasana dengan apa yang mereka hadapi selalunya sama ada di rumah atau pun pra sekolah.
Ada yang gembira, malah tak kurang juga ada yang menangis kerana ketakutan kerana itulah ragam biasa yang saban tahun dihadapi oleh guru-guru.
Sejajar dengan kegembiraan menyambut kedatangan mereka ke sekolah, maka pihak sekolah akan berusaha lebih keras bagi memastikan mereka selesa daripada perasaan takut.
Maka saban tahun jugalah kita akan dihidangkan dengan pelbagai cara menarik yang dilakukan sekolah untuk menyambut kedatangan pelajar-pelajar baharu ini.
Antaranya dengan menyediakan maskot Ultraman, adiwira kegilaan kanak-kanak dari zaman dahulu sehinggalah kini.

Dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN), Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar telah membawa Ultraman khas buat pelajar SK Taman Awana, Jalan Langgar, Alor Setar.

Ada pelajar yang masih memegang botol susu serta bantal busuk teruja dengan kehadiran adiwira tersebut dengan segera menghampirinya, malah tak kurang juga ada yang terus menangis sebaik sahaja melihat kelibatnya.
https://www.facebook.com/816939855176980/videos/2496380570688669/?v=2496380570688669
Menurut Datuk Mahfuz, sekolah ini dipilih kerana turut mempunyai Kelas Pendidikan Khas, dan cara sambutan sebegini adalah sebagai salah satu inisiatif dalam memberikan semangat buat pelajar yang melangkah ke alam baharu selain daripada mengubah persepsi ‘takut’ mereka terhadap dunia persekolahan.

Cara ini bukanlah satu yang baru, sebelum ini tular juga beberapa sekolah membawa maskot kegilaan kanak-kanak ke sekolah seperti Doraemon, Mickey dan Minney Mouse serta Robocar Poli.
Sumber: Harian Metro
Trending now



