
Sistem Undian Secara Dalam Talian, Adakah Malaysia Benar-Benar Sudah Bersedia?
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun (kini bekas selepas beliau meletak jawatan pada 29 Jun) pada akhir Januari 2020 pernah menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan apabila sistem undian elektronik atau e-undi akan dilaksanakan di Malaysia pada masa hadapan.
BACA: Dicalon Sebagai PM Ke-9, Shafie Apdal Hanya Boneka Permainan Politik Tun M?
Ini kerana ianya masih lagi dalam proses mendapatkan pendapat daripada lebih ramai pakar mengenai keselamatan dan kepuasan hati pengundi yang semestinya bimbang dengan cubaan penggodam yang sentiasa mencari peluang untuk menggodam mesin pengundian elektronik.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata SPR masih belum berpuas hati dengan isu kerahsiaan dan keselamatan dalam kaedah pengundian elektronik tersebut dan berkemungkinan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Biarpun sudah banyak negara yang sudah melaksanakan sistem undian dalam talian antaranya Estonia, Brazil, India, Switzerland dan Amerika Syarikat, tapi ada laporan yang menunjukkan sistem berkenaan terpaksa dikaji semula dan dibuat beberapa penambah baikan, malah ada juga yang kembali kepada sistem undian secara manual seperti Belanda.
Dalam persiapan menghadapi PRU15 yang bila-bila masa sahaja boleh berlaku, SPR telah melakukan beberapa persediaan merangkumi perancangan menyeluruh; belanjawan, peralatan dan logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas di samping mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan di daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi.
Pada September 2018, kekecohan pernah berlaku akibat sistem ini yang diguna pakai buat pertama kali di Kedah dan Pulau Pinang menyebabkan pemilihan pilihan raya kecil (PRK) pada ketika itu berlangsung dalam keadaan kurang lancar.
Biarpun sistem undian dalam talian adalah satu langkah negara maju ke hadapan, isu ketelusan sistem ini sentiasa menjadi pertikaian.
Maka adakah Malaysia sudah bersedia?