Sisi Gelap Yang Perlu Ri Sol-ju Lalui Sebagai Isteri Kim Jong-un

Sumber: The Sun

Sisi gelap yang perlu RI Sol-ju lalui demi bergelar isteri kepada Kim Jong-un.

Nama Kim Jong-un sering kali dikaitkan dengan pemerintahan diktaktor. Menjadi pemimpin di negara yang sangat tertutup kepada dunia luar, pernahkah anda terfikir bagaimana kehidupan yang perlu dilalui oleh Ri Sol-ju yang merupakan isteri kepada beliau?

Biarpun bergelar Wanita Pertama Korea Utara, latar belakang Sol-ju masih lagi samar-samar dan menjadi spekulasi di media antarabangsa sehinggakan tarikh lahir beliau pun tidak dapat dikenal pasti bila.

Menurut sumber daripada Wikipedia, Sol-ju dilahirkan antara tahun 1985 hingga 1989, membawa kepada jangkaan usianya pada tahun ini adalah antara 31 hingga 35 tahun.

Ri Sol-ju Sisi Gelap Bergelar Isteri Kepada Kim Jong-un 1
Sumber: CNN

Sol-ju dikatakan datang daripada keluarga elit; ibunya seorang ketua di wad ginekologi dan bapanya seorang profesor, mempunyai kelayakan akademik dalam bidang muzik serta ijazah doktor falsafah dalam bidang sains.

Malah beliau juga pernah bergelar penyanyi, namun latar belakang beliau sebagai penghibur seakan cuba dipadam pihak pentadbiran Korea Utara dengan menyita semua cakera padat persembahannya.

Gelaran wanita pertama yang diberikan kepada Sol-ju oleh media pada April 2018 dianggap sebagai satu penghormatan yang signifikan kerana ianya pertama kali digunakan sejak tahun 1974.

Berkahwin dengan Jong-un pada 2009, menurut BBC perkahwinan tersebut dikatakan adalah hasil aturan ayah Jong-un, Kim Jong-il selepas menghidap strok pada tahun 2008 dan kemudiannya dikatakan telah menimang cahaya mata pertama lelaki pada 2010.

Pada Disember 2012, Sol-ju sekali lagi dikatakan mengandung namun tiada kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan Korea Utara yang mengesahkan berita tersebut.

Pada Mac 2012, Dennis Rodman yang melawat Korea Utara mendedahkan kepada media Inggeris, Sol-ju selamat melahirkan seorang anak perempuan bernama Kim Ju-ae.

BACA: Pemain Bola Keranjang Dedah Bagaimana Beliau Berparti Bersama Kim Jong-un

Perkahwinan keduanya diuar-uarkan kepada umum oleh media Korea Utara pada 25 Julai 2012 yang mana dinyatakan sebagai “his wife, comrade Ri Sol-ju” selepas beberapa kali pegawai perisik Korea Selatan tersalah meneka beliau sebagai bekas ahli kumpulan muzikal popular Korea Utara, Pochonbo Electronic Ensemble.

Antara tahun 2012 hingga 2014, Sol-ju kerap muncul di umum menemani Jong-un, namun pada 2015 hingga 2017 kelibatnya jarang terlihat sehinggalah pasukan perisik Korea Selatan melaporkan Sol-ju telah melahirkan anak ketiga yang tidak diketahui jantina pada Februari 2017.

BACA: Ini Yang Akan Berlaku Di Korea Utara Sekiranya Kim Jong-un Dilaporkan Meninggal Dunia

Menjadi isteri kepada pemimpin diktaktor negara yang penuh rahsia serta dikenali seantero dunia, maka tidak hairanlah jika identiti Sol-ju sebagai isteri kepada Jong-un juga ditutup kemas.