Sindrom Brugada: Penyakit Jantung Misteri Yang Membunuh Dalam Tidur

Sindrom Brugada Penyakit Misteri Dalam Tidur
Sumber: FB Ahmad Wazir Aiman

Semalam, dunia seni dikejutkan dengan pemergian seorang pelakon Malaysia yang turut mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair disebabkan serangan jantung.

Menurut sumber, arwah dikatakan meninggal dunia ketika tidur. Hal ini membawa persoalan mengapa golongan muda pada masa kini (arwah meninggal pada usia 40 tahun) berdepan risiko serangan jantung walaupun menjalani kehidupan yang sihat.

Seorang pengguna Facebook, Ahmad Wazir Aiman yang merupakan seorang doktor mengimbas kembali tentang satu penyakit yang jarang berlaku semasa beliau melanjutkan pengajian di peringkat ijazah bidang kedoktoran.

Beliau berkata, kematian akibat serangan jantung ketika tidur ini mengingatkan tentang satu penyakit yang disulami pelbagai misteri dan hikayat dongeng iaitu sindrom Brugada.

* Tidak mengaitkan pemergian arwah Ashraf Sinclair dengan sindrom ini kerana tidak menahu apakah punca berlakunya serangan jantung, beliau terpanggil untuk menulis tentang penyakit sindrom Brugada ini sahaja.

Penyakit misteri ini bermula pada awal tahun 1917 yang direkodkan kesusasteraan perubatan Filipina yang mana satu penyakit menyebabkan seseorang itu akan terjaga daripada tidur mereka secara tiba-tiba, mengerang untuk seketika sebelum akhirnya meninggal dunia.

Menurut kepercayaan mereka, sindrom ini disebut sebagai ‘bangugot’ yang merujuk kepada roh jahat berbentuk wanita gemuk yang melemaskan mangsa mereka ketika tidur.

Sindrom Burgada Penyakit Misteri Dalam Tidur
Sumber: Hello Sehat

Secara ringkasnya, hampir seluruh negara di rantau Asia seperti Indonesia, Thailand dan Jepun direkodkan wujudnya sindrom ini dengan kepercayaan masing-masing. Penyakit ini mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap keturunan Asia.

Walaupun kes ini ada dicatatkan di Amerika Syarikat, namun dikenal pasti ia dalam kalangan warga Asia yang menetap di sana. Keanehan penyakit ini menarik perhatian pasangan adik beradik pakar jantung dari Sepanyol iaitu Pedro dan Josep Brugada (yang mana nama penyakit ini diberi nama).

Menurut Ahmad Wazir, purata usia mereka yang mati dengan sindrom ini sekitar usia pertengahan 30-an hingga awal 40-an dan kebanyakan mereka tidak mempunyai sebarang penyakit kronik yang boleh mengganggu kesihatan jantung mereka.

Apa yang menyebabkan penyakit ini cukup tinggi berada dalam kalangan penduduk Asia ialah apabila satu mutasi genetik penting pada gen SCN5A dikenal pasti. Selain itu, terdapat juga beberapa keadaan kesihatan dan juga faktor risiko tertentu yang boleh menyebabkan seseorang itu menghidap sindrom ini walaupun mereka tidak mempunyai peranan genetik.

Untuk membaca lebih lanjut, boleh ke pautan penulisan beliau di bawah ini.

[Brugada Syndrome – Kisah Penyakit Jantung Misteri Yang Membunuh Dalam Tidur]Mukadimah: Al-Fatihah. Takziah kepada…

Posted by Ahmad Wazir Aiman on Tuesday, February 18, 2020