
Sindiket Guna Kanak-Kanak Untuk Mencuri, Pemilik Kedai Makan Digesa Berwaspada
Satu kegiatan mencuri menggunakan kanak-kanak dilaporkan kini kerap berlaku di kedai-kedai makan dan restoran yang beroperasi di sekitar Klebang, Melaka.
Menurut satu perkongsian di Facebook yang dibuat oleh Marina Md Ramli, kegiatan tersebut terbongkar hasil dari siasatan menerusi rakaman video CCTV.
Video yang berdurasi 51 saat tersebut menunjukkan kegiatan mencuri yang dilakukan oleh seorang kanak-kanak dipercayai berlaku di restoran Melantak Steak Hub, Klebang.
Pada mulanya, didapati seorang kanak-kanak berbaju sekolah keluar dari tandas dan terus berjalan untuk membuka loker simpanan pekerja yang terletak bertentangan dengan tandas tersebut.
Dengan selamba, kanak-kanak tersebut mengeluarkan beg tangan yang disimpan di dalam loker tersebut, menutupnya kembali dan terus keluar.
Menurut Marina, kebelakangan ini, kanak-kanak itu kerap datang setiap malam seolah-olah seperti sudah diajar dan disuruh berbuat demikian.
Beliau mengesyaki kegiatan itu didalangi sindiket kerana kanak-kanak ini bergerak secara berkumpulan dan sering melepak di kedai tersebut.
Mereka juga datang bukan sebagai pelanggan tetapi melepak dan bertindak meminta-minta untuk diberikan makanan secara percuma dari pekerja dan pelanggan yang hadir.
Sambil melepak, kumpulan kanak-kanak ini turut sempat menggunakan WiFi dan tandas sebelum mencuri sekiranya mendapat peluang.

Anak siapalah ni? 3, 4 hari kebelakangan ni, ada orang hantar masuk ke kedai, tapi bukan sebagai pelanggan. Mereka datang berkumpulan dalam 3-4 orang kemudian paksa pelanggan lain dan pekerja bagi makanan percuma. Lepas tu, mereka melepak sambil guna WiFi. Mereka juga sempat buat kerja mencuri. Setakat bagi makan tu, tak ada masalah. Ini mencuri pula dan datang tiap-tiap malam. Mesti ada sindiket ni…
Sumber: Marina Md Ramli