
Simpati Nasib Rakyat Malaysia Akibat Bencana Menimpa, CEO Apple Mahu Hulurkan Sumbangan
Simpati Nasib Rakyat Malaysia Akibat Bencana Menimpa, CEO Apple Mahu Hulurkan Sumbangan.
Saintis sebelum ini memberi amaran taufan akan menjadi semakin kuat apabila dunia menjadi lebih panas akibat perubahan iklim yang berpunca dari tangan manusia.
Taufan Rai melanda Filipina pada akhir musim taufan dengan kebanyakan ribut siklon terbentuk antara bulan Julai hingga Oktober.
Ribut taufan yang melanda seluruh kepulauan Mindanao turut menyebabkan kawasan perkampungan disana dilanda banjir.
Negara-negara jiran termasuk Malaysia turut terkena tempias Taufan Rai sehingga menyebabkan hujan lebat berterusan selama dua hari dan banjir di beberapa kawasan.
Bersimpati melihat bencana yang teruk melanda Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook mengumumkan akan menghulurkan bantuan sumbangan kepada Malaysia dan Filipina.
Menerusi satu ciapan ringkas di akaun rasmi Twitternya, Tim menyatakan bahawa Apple akan menyumbang kepada usaha pemulihan, baik pulih dan pembangunan semula jangka panjang di Malaysia dan Filipina.
“Taufan Rai telah mengakibatkan begitu banyak kemusnahan di Filipina dan Malaysia. Ramai keluarga yang kehilangan terlalu banyak. Apple akan menyumbang bagi meringankan beban, membaik pulih dan berusaha untuk membantu pembangunan jangka panjang,” tulis Tim dalam ciapannya.
Typhoon Rai has caused so much devastation in the Philippines and Malaysia — so many families have lost so much. Apple will be contributing to relief, recovery, and longer-term rebuilding efforts. #OdettePH
— Tim Cook (@tim_cook) December 21, 2021
Reaksi netizen Malaysia
Melihat pada ruangan komen, ramai memberikan pujian atas usaha murni terhadap Tim Cook. Walau bagaimanapun, rata-rata netizen Malaysia berharap Apple tidak memberikan sumbangan dana mereka kepada pihak kerajaan kerana kecewa dalam menangani isu banjir.

Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas, sehingga kini direkodkan telah mengorbankan 34 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014. Dua puluh tiga daripadanya di Selangor manakala 11 orang lagi di Pahang.