
Sikap Acuh Tak Acuh Rakyat Itali Punca Wabak Covid-19 Merebak Pantas
Sikap acuh tak acuh rakyat Itali dalam menangani penularan wabak Covid-19 menjadi punca ia tersebar dengan begitu pantas dalam tempoh dua minggu ini.
Angka korban mangsa wabak Covid-19 sudah mencecah seribu di negara itu yang mana jumlah itu menunjukkan kadar kematian tertinggi dalam tempoh sehari dan menjadi negara terburuk di Eropah sejak kes pertama dilaporkan pada 31 Januari.
Terdahulu, Perdana Menteri Itali terpaksa mengumumkan perintah berkurung kepada lebih 60 juta penduduk yang berkuatkuasa sehingga 3 April ini. Menerusi perintah itu, orang ramai yang mahu pergi ke mana-mana perlu mengisi borang khas dengan menyatakan alasan berbuat demikian.
Kini semua kedai seperti bar, pusat hiburan, pendandan rambut dan kantin ditutup kecuali untuk keperluan asas penting iaitu farmasi dan kedai makanan dibenarkan beroperasi.
Keadaan yang tidak terkawal di hospital Itali kerana menerima ramai pesakit Covid-19 sehingga dikhabarkan doktor terpaksa memilih pesakit untuk dirawat, dan mereka yang tidak bernasib baik itu hanya dibiarkan merana bergelumang dengan penyakit yang belum ada lagi penawarnya.
Seorang pengguna Facebook dari Itali, Cristina Higgins menasihatkan kepada masyarakat negara lain untuk mengambil berat tentang penularan wabak ini. Katanya, punca wabak ini tersebar pantas kerana sikap acuh tak acuh rakyat Itali yang menganggap dalam menangani penularan wabak Covid-19 ia hanya sekadar sakit selsema biasa sahaja dan berjangkit pada golongan tua.
Kata Cristina, dua punca wabak ini berlaku teruk di Itali ialah pertama kerana mereka yang sakit perlu berada dalam ICU untuk beberapa minggu dan wabak ini merebak pantas tanpa disedari kerana kebanyakan mangsa tidak menunjukkan apa-apa simptom dalam tempoh dua minggu.
Jika pada awalnya mangsa jangkitan terdiri daripada golongan tua, kini ia telah pun merebak kepada pesakit muda yang memerlukan rawatan lanjut di hospital yang sudah pun penuh dengan pesakit.
Nasihatnya, masyarakat di luar Itali perlu mengambil langkah awal untuk menghentikan penyebaran wabak Covid-19 ini. Langkah itu boleh diambil seperti bekerja dari rumah, batalkan semua majlis yang memerlukan orang ramai berhimpun dan duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak.
Sumber: Cristina Higgins