
Siap Boleh Keluarkan Saman, Polis Indonesia Rancang Guna Dron Untuk Kawal Trafik
Teknologi dron bakal digunakan oleh polis trafik Indonesia bagi memantau pergerakan lalu lintas dari ruang udara termasuk bagi membuat pengeluaran saman secara elektronik.
Perancangan untuk menggunakan peranti berteknologi tinggi itu kini dilaporkan sudah menjalani beberapa siri percubaan.
Menurut Ketua Pengarah Polis Trafik, Aan Suhanan, kaedah saman menggunakan teknologi dron tersebut juga telah dikaji secara mendalam.
Sebelum ini, dron trafik di Indonesia hanya digunakan sebagai alat untuk pemantauan lalu lintas.
Beliau berharap selepas ini teknologi dron mampu untuk digunakan sebagai alat sokongan kepada polis ketika melakukan rondaan.
“Pihak kami sedang mengkaji, menguji dan menilai cadangan yang akan mewujudkan sokongan ketika melakukan rondaan, memantau aliran trafik menggunakan pesawat tanpa pemandu itu,” jelasnya.
Misalnya, jika terdapat kesesakan lalu lintas yang teruk, dron akan merakam gambar kawasan itu dan menghantar ke pusat arahan untuk tindakan susulan.
“Apabila berlaku kesesakan lalu lintas teruk, kita masih boleh memantau sehingga penghujung jalan itu agar dron itu boleh menghantar maklumat ke pusat arahan.
“Kami akan membangunkan ini dengan melaksanakan Penguatkuasaan Undang-Undang Trafik Elektronik (ETLE) dengan menggunakan dron,” tambahnya.
Selain itu, menurutnya lagi dron tersebut juga akan digunakan untuk mengesan pesalah trafik.
“Dengan menggunakan kamera bersesuaian dengan spesifikasinya, kita boleh rakam gambar plat kenderaan dan sebarang pelanggaran lalu lintas termasuk pandu lebih had laju,” tegasnya.
BACA: Lihat Bagaimana Polis Trafik Di Indonesia Ajar Pengguna Jalan Raya Jadi Lebih Berhemah
Sumber: Utusan Malaysia