
‘Setiap Yang Mereka Sebut Adalah Doa’ – Nadir Al Nuri Kongsi Cara Rakyat Palestin Beri Ucapan
Islam tidak hanya mengajar kita supaya berdoa untuk diri sendiri sahaja.
Dalam banyak keadaan, Islam menganjurkan supaya umat Islam saling mendoakan antara satu sama lain. Islam turut mengajar diri umatnya supaya mendoakan kebaikan untuk orang lain.
Seorang aktivis kemanusiaan Malaysia yang menubuhkan Persatuan Cinta Gaza Malaysia dan menetap di Semenanjung Gaza, Nadir Al-Nuri berkongsi pengalamannya mengenai cara rakyat Palestin memberi ucapan dan pujian kepada seseorang. Mari kita baca perkongsian menarik beliau.
Beberapa hari lepas dalam sebuah majlis penyampaian hadiah, saya berdiri di atas pentas menyampaikan hadiah bersama seorang ahli parlimen Palestin.
Setiap kali saya bersalam dengan pemenang, saya mengucapkan tahniah, tahniah. Tetapi saya perasan wanita di sebelah saya tak mengucapkan tahniah malah menyebut, نفع الله بك – ‘Semoga Allah menjadikanmu bermanfaat (untuk agama)’.
Setiap yang mereka sebut adalah doa
Ini ajaib dan hebatnya orang Palestin malah di negara Arab yang lain yang berbeza dengan kita. Setiap yang mereka sebutkan adalah doa untuk yang berada di depannya.
Mereka jarang ucapkan شكرا syukran (terima kasih) tapi selalu sebutkan جزاك الله خيرا jazakallahu khairan (semoga Allah memberikanmu balasan kebaikan) atau سلم ايديك sallim aidaik (semoga Allah menyelamatkan kedua tanganmu – dari perkara yang tidak baik).
Bila berpisah mereka tak sebut jumpa lagi tapi sebut الله معك Allah Ma’ak (semoga Allah bersamamu) atau الله يسهل عليك (semoga Allah memudahkan urusanmu).
Atau bila nampak budak pandai mereka tak sebut wow tapi sebut الله يفتح عليك Allah yaftah alaik (semoga Allah membukakan lagi untukmu kebijaksanaan).
Dan bila nampak baby atau budak comel mereka akan automatik berselawat اللهم صل على محمد
Jom sedikit demi sedikit kita gantikan ucapan-ucapan biasa kita dengan doa. Jom kita perbanyakkan selawat.
BACA: 5 Perkara Paling Penting Yang Amat Wajar Dipohon Semasa Berdoa
Sumber: Nadir Al Nuri