
Sertai Upacara Perarakan Agama Lain Dibimbangi Boleh Merosakkan Akidah Umat Islam
Tindakan segelintir masyarakat Islam yang menyertai perarakan keagamaan orang bukan Islam telah ditegur oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Teguran beliau tersebut susulan dari video tular yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai beragama Islam termasuk kanak-kanak menyertai perarakan keagamaan orang bukan Islam yang disambut baru-baru ini.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Pulau Pinang tersebut walau bagaimanapun setakat ini masih lagi tiada pengesahan daripada pihak berwajib.
Satu lagi video lain memaparkan seorang wanita dipercayai Muslim menari di hadapan khemah pada sambutan keagamaan orang bukan Islam.
Memetik laporan wartawan Zuhainy Zulkiffli dari Harian Metro, Dr Wan Salim berkata, pihak berkuasa agama negeri hendaklah menjelaskan hukum kepada umat Islam dengan bantuan dan kerjasama dari pihak seperti jawatankuasa kariah, pegawai masjid, guru takmir dan lain-lain.
“Ternyata umat Islam terutama generasi baharu semakin tidak sensitif dengan hal yang boleh merosakkan iman dan akidah mereka.
“Ramai yang tidak lagi memelihara batas hukum agama maka ibu bapa, pendidik, pihak berkuasa agama dan pimpinan masyarakat perlu memainkan peranan menjelaskan kepada mereka mengenai hukum haram kepada umat Islam menyertai upacara keagamaan atau ritual agama lain,” ulas beliau.
Menurut beliau lagi, masyarakat tidak seharusnya tersalah dalam memahami konsep toleransi beragama yang diharuskan, malah digalakkan lagi dalam Islam.
Namun, sikap toleransi adalah berbeza dengan perbuatan menyertai orang bukan Islam melakukan ritual agama mereka dan ia mesti dijelaskan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Toleransi bermaksud rakyat Malaysia hendaklah menghormati kesemua agama yang dianut oleh kaum di negara ini dan masing-masing adalah bebas beramal dengan ajaran agamanya tanpa gangguan mana-mana pihak.
“Toleransi beragama digalakkan di dalam Islam tetapi penyertaan umat Islam dalam upacara keagamaan bukan Islam adalah diharamkan, bahkan dibimbangi boleh merosakkan akidah seorang Muslim,” tambah beliau lagi.
BACA: Video Dr Malar: Penjelasan Dan Huraian Lanjut Mengenainya Untuk Panduan Umat Islam
Sumber: Harian Metro
Trending now



