Sering Jadi Bahan Meme, Ini Kisah Di Sebalik Reaksi Wajah Sarim Akhtar

Kisah Sarim Akhtar Meme

Sebagai pengguna media sosial, pastinya anda mengetahui kewujudan meme yang biasanya digunakan di ruangan komen.

Meme telah menjadi bentuk hiburan yang popular di internet, dan biasanya disajikan dalam bentuk gambar dan tulisan.

Meme menjadi sangat popular kerana kata-kata dan ilustrasi yang mereka gunakan sering dianggap lucu. Malah, meme juga digunakan sebagai bentuk kritikan sosial dan satira politik.

Antara semua ilustrasi yang digunakan, tentu anda sering melihat beberapa ilustrasi yang sama untuk membuat pelbagai meme. Anda pasti tahu dengan meme seorang lelaki yang mencekak pinggang dengan riak wajah marah dan kecewa ini.

Siapakah lelaki itu dan mengapakah dia membuat reaksi sebegitu?

Lelaki yang dijadikan meme itu adalah Muhammad Sarim Akhtar, seoarang warganegara Pakistan. Wajahnya mula menjadi sensasi internet pada 2019 apabila reaksinya mencuit hati jutaan warganet.

Ramai berpendapat reaksinya benar-benar memaparkan kekecewaan dan dengan pantas, dia digelar ‘Angry Pakistani fan’, lapor RepublicWorld.com.

Sarim Akhtar yang menetap di London menceritakan kisah di sebalik wajahnya itu kepada International Cricket Council (ICC).

Menurutnya, dia berang kerana pemain kriket Pakistan melepaskan bola dengan mudah ketika negara itu sedang menentang Australia dalam Piala Dunia Kriket 2019.

Dia yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya secara spontan melakukan aksi itu dan kamera juga pantas merakam kelakuannya yang berada betul-betul di belakang pemain kriket itu.

Menerusi temu bual bersama ScoopWhoop, pada awalnya Sarim tidak berhasrat untuk hadir ke perlawanan itu walaupun dia amat meminati kriket.

Ketika itu, dia baru sahaja berpindah dan membeli kereta baharu, jadi dia berfikir lebih baik duduk di rumah dan menonton perlawanan itu melalui televisyen.

Namun, rakannya yang baru sampai ke London dari Dubai bersungguh-sungguh mengajaknya dan akhirnya bersetuju.

Kisah Sarim Akhtar Meme
Sumber: Twitter Sarim Akhtar

Detik yang mengubah hidupnya

“Sebagai seorang peminat kriket yang biasa-biasa sahaja, saya tidak pernah menyangkan boleh mendapat populariti sebegini rupa.

“Sebenarnya, ia berlaku sangat pantas juga. Sebaik saya duduk selepas rakaman itu, saya dapat banyak mesej dari kawan-kawan mengatakan nampak saya dalam televisyen.

“Tak lama lepas itu, meme itu mula tersebar. Orang yang duduk sebelah saya mula bertanya adakah saya yang dijadikan meme itu. Semuanya berlaku dalam stadium itu juga, dari situ saya sudah mula popular,” katanya.

Kisah Sarim Akhtar Meme

Tambahnya, sebaik perlawanan berakhir, wartawan datang kepadanya dan beritahu wajahnya tular di seantero dunia.

Selepas lebih setahun, popularitinya tidaklah sehebat dulu namun wajahnya masih digunakan sehingga kini, termasuk di Malaysia.

Wajahnya dipakai dengan begitu kerap namun Sarim Akhtar tidak kisah malah mengakui ada beberapa meme yang dia suka, malah membuatkannya tergelak juga.

Sumber: Awani