
Sering Digunakan Dalam Acara Besar Di Indonesia, Ini Fakta Menarik Kerjaya ‘Bomoh Hujan’
Acara MotoGP Indonesia 2022 baru-baru ini menjadi tumpuan ramai dengan kehadiran pawang atau bomoh hujan.
Situasi itu bukan sahaja mengejutkan warga Indonesia, malah orang ramai seluruh dunia yang terkedu melihat kehadiran bomoh hujan. Ia didakwa membantu memulihkan cuaca agar perlumbaan dapat dijalankan selepas mengalami hujan yang lebat.
Menurut Rara Istiani Wulandari, bomoh hujan yang dipertanggungjawab untuk ‘mengubah suai cuaca’ dalam acara besar itu, dia sudah terlibat sejak ujian pramusim.
Bagaimanapun, dia hanya mula ‘mengawasi’ Litar Mandalika sejak 1 Mac lalu. Malah katanya, dia diminta segera ‘memanggil’ hujan pada tempoh 9 Mac sehingga 11 Mac bagi membantu menyejukkan trek yang baru diturap semula.
Malahan, Rara dilaporkan menerima bayaran cukup lumayan iaitu hampir ratusan juta rupiah (RM300,000) sepanjang tempoh 21 hari bekerja.
THANK YOU for stopping the rain! 😅#IndonesianGP 🇮🇩 pic.twitter.com/zv7mUB8DPr
— MotoGP™🏁 (@MotoGP) March 20, 2022
‘Teknologi’ tradisional yang dipercayai berkesan dalam mengubah cuaca ini sudah biasa diamalkan dalam pelbagai acara di negara itu.
Dari acara peringkat kejiranan atau komuniti, Liga Kelas 1, pembukaan Sukan Asia sehingga kempen pilihan raya Jokowi turut mempunyai bomoh hujan bagi mengelak cuaca tidak diingini.
Berikut merupakan fakta menarik mengenai ‘kerjaya’ bomoh hujan.
1. Sebahagian besar masyarakat Indonesia masih mengamalkan kepercayaan yang dianggap mitos dan kurafat pada masa kini.
2. Ketika menjalankan ritual, bomoh hujan sendiri tidak menghentikan hujan tetapi hanya ‘memindahkan atau menukar’ waktu hujan di lokasi lain.
3. Khidmat bomoh hujan biasanya diperlukan ketika mengadakan sesuatu acara atau upacara adat tertentu agar tidak turun hujan.
4. Bomoh hujan boleh melakukan ritualnya tanpa perlu hadir ke lokasi acara. Mereka yang menggunakan khidmat bomoh hujan perlu menjaga tingkah laku.
5. Ilmu diperturunkan dari generasi ke generasi.
6. Mereka yang mengakui tidak menggunakan ilmu hitam, melakukan ritual dengan bacaan doa dan berzikir.
7. Kebanyakan pelanggan menggunakan khidmat bomoh hujan sebagai alternatif terakhir untuk kelancaran acara mereka dan jika hujan turun, mereka tidak memotong bayaran.
Namun begitu, kita sebagai seorang Islam dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan kepercayaan ritual seperti ini.
Upacara dan amalan perbomohan dengan menggunakan objek tertentu adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram di sisi Islam.
Itulah sedikit penjelasan mengenai bomoh hujan yang terdapat di Indonesia. Sebahagian masyarakat mungkin masih mempercayainya, namun sebahagiannya tidak lagi.
Sumber: Line Today, The Jakarta Post, Viva
Trending now



