
Sering Berlaku Penipuan Dan Manipulasi Oleh Tokoh Agama, Ini Mungkin Punca Sebenarnya
Tokoh agama di Malaysia pada hari ini tidak terlepas dari kritikan dan cemuhan selain juga sering dilihat menjadi mangsa fitnah.
Meskipun begitu, segelintir dari golongan agamawan ini juga didapati benar-benar tidak layak untuk menggalas tugas yang diamanahkan dan hanya mementingkan kedudukan, pangkat dan gelaran semata-mata.
Syukur masih ada lagi warganet yang lebih berilmu dan bijak yang tidak ingin melihat kesucian agama Islam dicemari dengan membuat beberapa pendedahan dan pembongkaran yang mengejutkan.
Apakah sebenarnya yang menjadi punca betapa mudahnya golongan hipokrit dan munafik ini berjaya mengaburi penglihatan orang ramai dengan manipulasi serta penipuan mereka?
Seorang pensyarah institusi pendidikan, Sahul HM Al-Rawbari cuba mengupas isu ini di laman Facebooknya melalui hantaran yang dibuatnya berikut.
Apa pendapat anda mengenai tokoh agama di Malaysia pada hari ini? Sila tinggalkan komen.
Penipuan dan manipulasi oleh ahli agama dan ilmuan agama berlaku kerana orang awam cepat terpesona dengan gelar dan jenama. Apa lagi jika gelarnya ‘Prof., atau Dr.’, jenama universiti luar negara. Penerima gelar dan jenama agama disanjung tinggi. Mereka dianggap suci oleh segolongan manusia yang senang tertawan dengan gelar dan jenama.
Tak ramai yang tahu bahawa gelar Doktor Falsafah ‘Islamic Studies’ daripada universiti negara Barat (negara orang Putih) bukan semestinya hasil daripada kajian mendalam terhadap prinsip agama, tetapi memadai jika ia menyentuh sesuatu yang berkisar tentang agama. Misalnya kajian tentang tokoh Muslim, kajian tentang akhbar bernuansa Islam atau perbandingan pemikiran dan ideologi. Ia tak salah, tetapi gelar yang dianugerahkan itu langsung mengangkat status penerimanya ke maqam yang tinggi.
Kalau sijil Phdnya Sejarah, dia tak jadi mulia. Begitu juga jika dari bidang lain seperti Sains atau Kemanusiaan misalnya. Tetapi ketika ditempel sijilnya dengan agama, statusnya terus menjulang tinggi. Pujian melangit. Lalu tenggelamlah sang penerima oleh tunduk dan patuh orang awam di sekelilingnya. Hampir dia menjadi suci dan kudus dengannya.
Kerana apa? Kerana orang awam tidak melihat sejarawan, saintis, doktor, dan pakar lain sebagai pemudahcara ke syurga. Hanya ilmuan agama atau tokoh agama yang mampu menjamin tiket ke syurga, melalui doa dan “syafaat”. Dalam bahasa kita hari ini, mereka adalah kabel. Ya, tak salah. Eloklah mereka dihormati. Mereka ilmuan. Tapi soalnya, mengapa perlu diterima dan dipatuhi secara membuta tuli dan membabi buta? Ke mana hilangnya daya fikir, taakul dan penilaian kita sendiri?
Ada baiknya kita ‘reserve’ sanjungan terhadap manusia. Ikut yang baik. Tinggalkan dan tegur yang buruk. Baiknya atas neraca agama, dan buruknya pun atas neraca agama. Mengapa harus taksub walaupun jelas kesilapan dan kesalahannya?
“(Apakah orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, kerana takut kepada akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah, “Apakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?” Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran. (Az-Zumar, 9)
#shmkritiksosial
Kemaskini: Ini adalah status umum yang tak ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus.
-Sahul HM-
Sumber: Facebook Sahul HM Al-Rawbari