
Serangan Dan Ancaman Keganasan Terhadap Golongan LGBTQ Naik Mendadak
Dilaporkan untuk sepanjang tahun 2022, ancaman dan keganasan ke atas puak lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di seluruh Amerika Syarikat melonjak dengan ketara.
Demikian menurut satu kajian menyeluruh ke atas aktiviti anti gay susulan insiden amukan senjata api di sebuah kelab malam LGBTQ di Colorado, minggu lalu.
Menurut GLAAD yang merupakan antara kumpulan penyokong utama LGBTQ, untuk tahun 2022 sahaja sekurang-kurangnya 124 kes terjadi di 47 negeri di mana aktiviti anti gay atau ancaman serius terhadap golongan tersebut berlaku.
Texas menyaksikan paling banyak jumlah ancaman dan protes anti gay tahun ini dengan 10 insiden telah direkodkan di negeri berkenaan.
Ini diikuti dengan Carolina Utara berada di tempat kedua dengan 9 insiden, Illinois (8), California (6), Tennessee (6) dan Georgia (5).
Protes dan keganasan kebanyakannya berlaku semasa perarakan yang dinamakan Pride pada musim panas dan musim luruh.
Bulan Jun lalu, pengasas sebuah kumpulan Neo-Nazi dan dua lagi lelaki lain telah ditangkap di Boston semasa melakukan bantahan terhadap satu acara mempromosikan budaya songsang kepada kanak-kanak.
Satu lagi kejadian lebih serius berlaku di sebuah kedai donat di Tulsa, Oklahoma melibatkan penyerang yang membaling bom api ke arah premis berkenaan selepas satu acara LGBTQ diadakan di situ.
Kajian juga mendapati protes kebencian terhadap golongan ini turut berlaku sebelum ini di bandar-bandar besar seperti Philadelphia, Memphis, Dallas, Cleveland, Las Vegas, Minneapolis, St. Paul, Boston, Miami, Denver dan Phoenix.
Minggu lalu, berlaku amukan bersenjata api yang mengorbankan 5 nyawa dan mencederakan 25 yang lain di Kelab Q yang dikatakan berpunca dari satu penganjuran aktiviti LGBTQ.
BACA: World Cup 2022: ‘Peringatan Mesra’ Buat Penyokong LGBT Yang Ingin Buat Onar Di Qatar
Sumber: Kosmo!