
“Senang Nak Tahu Waktu Solat Dan Arah Kiblat”, Menteri Agama Jawab Tuduhan Pakai Jam Tangan Jenama Mewah
Menteri Agama Jawab Tuduhan Pakai Jam Tangan Jenama Mewah.
Ketika ini, apa sahaja yang dipakai oleh para menteri dan dipaparkan di dalam media sosial akan menjadi bualan netizen.
BACA: Turun Padang Tinjau Lokasi Kemalangan, Pelitup Muka Pengerusi Prasarana Curi Perhatian Netizen
Tidak sampai seminggu bergelar menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad diserang dengan tomahan.
Ada pihak yang mendakwa bahawa bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu memakai jam tangan jenama mewah Rolex menerusi gambarnya yang sedang berdoa di dalam pejabat.
Beliau kemudian tampil menjawab dakwaan tersebut menafikan jam tangan yang dipakainya bukanlah daripada jenama mewah, sebaliknya jenama Buruj.
Jelasnya, jam tangan tersebut memiliki kelebihan yang disertakan waktu solat dan arah kiblat.

“Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat & arah kiblat. Boleh solat kat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” tulisnya di Facebook miliknya.
Siti Kasim yang merupakan seorang peguam dalam kenyataannya di Twitter sebelum ini mendakwa Idris memakai jam tangan Rolex.
“Dengar dia adalah Menteri Agama yang baru sekarang. Merata berdoa di lantai pejabat ke mana sahaja dia pergi. Juga memakai tanda nama Jawi sahaja. Tiada BM (Bahasa Malaysia). Tetapi tengok jam tangan emas Rolex miliknya,”tulisnya.
Isu itu mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya menegur kenyataan Siti Kasim serta mahu peguam tersebut meminta maaf pada Idris Ahmad.
Menerusi tinjaun di laman Buruj.my, harga seutas jam tangan jenama Buruj jenis Rose Gold hanya RM279 dan Silver (RM269), berbanding dengan jam tangan jenama mewah Rolex yang dianggarkan paling murah adalah jenis Oyster Perpetual berharga RM20,750.
Trending now



