
Semua Jenis Penggambaran Perlu Dapatkan Lesen FINAS, Termasuklah Untuk Media Sosial
Semua jenis penggambaran filem termasuklah untuk media sosial perlu mendapatkan lesen.
Kontroversi dokumentari Al Jazeera nampaknya masih lagi belum berakhir. Dua hari lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjelaskan Al Jazeera International (Malaysia) Sdn Bhd (Al Jazeera) tidak mempunyai lesen pengeluaran filem untuk penerbitan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown.
BACA: Al-Jazeera Nafi Dokumentari Pengendalian PATI Semasa Pandemik COVID-19 Mengelirukan Dan Tidak Tepat
Semalam, Pengarah Urusan Al Jazeera bahasa Inggeris telah mengeluarkan kenyataan bahawa berdasarkan definisi FINAS, program hal ehwal semasa mingguannya, 101 East tidak termasuk dalam kategori filem yang memerlukan lesen.
“Tidak dapat mempertikaikan integriti kewartawanan kami, kami percaya pihak berkuasa kini mencuba muslihat baru dengan mendakwa kami tidak mempunyai lesen yang diperlukan.
Kami tidak yakin ini ialah hujah boleh dipercayai. Malah, kami percaya ia bercanggah garis panduan yang diterbitkan pihak berkuasa berkaitan itu sendiri.”
Menjawab kepada kenyataan balas Al Jazeera, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata semua penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

Ini termasuklah agensi media arus perdana mahupun media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok atau pun saluran tradisi seperti teater, wayang kulit dan opera.
Menurut Saifuddin, kementerian melalui FINAS mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu:
- Lesen Pengeluaran Filem/Video,
- Lesen Pengedaran Filem/Video, dan
- Lesen Pemameran Filem/Video.
Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981, Seksyen 22 (1) menetapkan, “tiada seseorang boleh mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamer filem-filem atau mana-mana gabungan aktiviti-aktiviti yang dinyatakan dalam seksyen 21 (1), melainkan jika suatu lesen dikeluarkan yang memberi kuasa kepadanya untuk berbuat demikian.
Bagi memohon Lesen SPP, bayaran yang diperlukan adalah sebanyak RM50 bagi setiap satu dengan beberapa syarat, antaranya:
- Syarikat filem mestilah mempunyai lesen pengeluaran daripada FINAS dan masih sah tempohnya.
- Melengkapkan maklumat yang diperlukan dalam borang yang boleh diperoleh secara percuma di Unit Perlesenan.
- Mengemukakan borang tidak lewat dari tujuh hari sebelum penggambaran dimulakan.
- Satu permohonan bagi setiap judul filem yang hendak dikeluarkan.
- Mengemukakan bersama dokumen seperti sinopsis, jadual, lokasidan sebagainya.
Sumber: Berita Harian, FMT, FINAS