
Seminggu Tak Tidur Tengok Bola Punya Pasal, Lelaki Ini Alami Lumpuh Di Bahagian Muka
Seorang lelaki mengalami lumpuh di bahagian mukanya selepas kerap berjaga malam semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia di televisyen.
Cao, 26, seorang peminat bola sepak dari Wuhan, di wilayah Hubei, China yang sanggup mengorbankan tidur selama beberapa malam berturut-turut dalam masa seminggu akhirnya menerima padah apabila mukanya menjadi lumpuh dan terpaksa dimasukkan ke hospital.
Difahamkan, selepas pulang dari kerjanya, Cao akan terus memandu pulang ke rumah untuk tengok bola dari jam 6:00 petang sehingga 6:00 pagi keesokan harinya sebelum bergegas semula ke tempat kerjanya tidak berapa lama selepas itu.
Pemuda tersebut pada mulanya baik-baik saja selama beberapa hari, tetapi tidak lama kemudian dia mula merasakan kekurangan tidur telah menjejaskan kesihatannya. Pada masa itu, dia sebenarnya sudah terlambat.
“Pada 30 November saya tidur selama dua jam selepas menonton perlawanan, apabila saya bangun, saya berasa amat letih.
“Saya tidak terlalu memikirkannya dan memutuskan untuk berehat di pejabat, tetapi selepas beberapa minit, keadaan saya bertambah buruk dan ia menjejaskan prestasi kerja saya,” jelas Cao kepada wartawan.
Keadaan menjadi bertambah teruk apabila Cao merasakan bibirnya senget dan dia juga tidak dapat menggerakkan kelopak matanya.
Pada mulanya dia tidak panik dan menganggap bahawa ianya hanyalah bersifat sementara.
Namun, selepas dibiarkan lama, kerja-kerjanya mula terganggu dan akhirnya dia memutuskan untuk pergi ke hospital.
Cao disahkan menghidap lumpuh di bahagian muka dan perlu menjalani rawatan untuk mengurangkan kesan yang lebih mudarat.
Menurut doktor, kekurangan tidur yang melampau, ditambah pula dengan cuaca sejuk dan angin kencang menyebabkan muka Cao lumpuh.
Doktor turut menasihatkan peminat bola sepak lain agar tidak mencontohi perangainya.
Cao walau bagaimanapun dijangka akan kembali pulih seperti sedia kala.
BACA: Bagaimana Tidur 3 Jam Tapi Mendapat Kualiti Seperti Tidur 9 Jam
Sumber: Oddity Central