
Seminggu Tak Balik Rumah Selepas Peminat Tahu Beliau Pembuat Gula-Gula Dalgona Dalam ‘Squid Game’
Seminggu tak balik rumah selepas peminat tahu beliau pembuat gula-gula dalgona dala Squid Game.
Selepas sahaja Squid Game ditayangkan, ramai yang berkongsi bagaimana mahu gula-gula dalgona yang digunakan dalam satu permainan di drama tersebut.
BACA: ‘Squid Game’ Bakal Dianjurkan Di Arab Saudi
Tahukah anda, gula-gula dalgona yang digunakan dalam drama ini bukannya dihasilkan pihak produksi?
Sebaliknya oleh seorang lelaki yang sudah pun lapan tahun menjalankan perniagaan manisan ini di kawasan universiti di Seoul, Korea Selatan.

An Yong-hui, 37 tahun berkongsi sebaik sahaja drama ini ditayangkan, premis mereka tanpa henti dikunjungi pelanggan sehingga beliau mengakui tidak dapat pulang ke rumah selama seminggu demi memenuhi permintaan pelanggan.
Lebih-lebih lagi apabila mereka mengetahui gula-gula dalgona yang digunakan dalam drama berkenaan adalah hasil tangannya.

Sebelum ini dalam masa sehari, jumlah jualan gula-gula dalgona yang terjual boleh mencecah 200 biji dengan harga jualan sekitar 2,000 won (RM6.96) sebiji.
Namun selepas Squid Game ditayangkan, jumlah jualannya mula meningkat hampir dua kali ganda daripada jumlah jualan harian biasa iaitu lebih 500 biji sehari dengan barisan pelanggan yang menunggu boleh sepanjang dua meter seawal jam 11 pagi.

Berkongsi pengalamannya menghasilkan manisan tersebut untuk drama berkenaan, Yong-hui memberitahu dia dan rakan sekerjanya menggunakan 15kg gula untuk menghasilkan 700 biji gula-gula dalgona yang akan digunakan pihak produksi pada Jun 2020.
Bagi menarik lebih ramai pelanggan, Yong-hui juga mengadakan pertandingan yang mana jika seseorang itu berjaya menghasilkan bentuk dalgona yang ditetapkan, mereka akan menerima satu lagi gula-gula dalgona secara percuma.

Namun, ramai yang gagal dan Yong-hui yang merupakan pembuat gula-gula dalgona dalam Squid Game sambil tertawa sempat bergurau, “Mungkin kami harus meletakkan senapang di sini juga.”
Untuk makluman anda, penjual gula-gula dalgona menjadi tumpuan di sekolah hingga awal tahun 2000 tetapi trendnya semakin menurun sebelum kembali menjadi popular selepas tayangan Squid Game.
Selain Yong-hui, penjual gula-gula dalgona turut berkongsi mengenai peningkatan jualan mereka hasil daripada populariti drama berkenaan.
Sumber: Reuters