Najib Diarah Bela Diri

Seleweng RM42 Juta Dana SRC International, Najib Razak Diarah Bela Diri

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung tuduhan salah guna kuasa an pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Susulan itu, beliau diperintahkan untuk membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujud kes prima facie bagi tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Beliau akan memberi keterangan dari kandang saksi bakal disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Terdahulu, Mohd Nazlan ketika membacakan keputusannya juga memberitahu Najib yang mempunyai kepentingan serta kawalan dalam syarikat SRC International telah membiarkan RM42 juta di depositkan ke akaun peribadinya. Wang itu kemudiannya digunakan olehnya untuk kepentingan diri sendiri.

Najib Diarah Bela Diri
Sumber: ProjekMM

Hakim kemudian menetapkan 10 hari iaitu 3,4,9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk ahli Parlimen Pekan itu dibicarakan. Beliau diberi tiga pilihan untuk membela diri iaitu pertama memberi keterangan dari kotak saksi atau memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, manakala ketiga memilih untuk tetap diam.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata walaupun diperintah untuk membela diri tidak bermaksud ia didapati bersalah sehingga kes selesai.

Jika sabit kesalahan, Najib berdepan dengan hukuman maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi. Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas manakala barisan peguam bela diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Sumber: MalaysiaGazette