Rayhan Kabir Mahu Belajar Undang-Undang

Selepas Diusir, Rayhan Kabir Mahu Belajar Undang-Undang Untuk Perjuang Hak Migran

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Rayhan Kabir Mahu Belajar Undang-Undang Untuk Perjuang Hak Migran.

Lelaki warga Bangladesh yang terkenal di seluruh Malaysia buat seketika kerana diusir selepas muncul dalam sebuah dokumentari Al Jazeera, dilaporkan mahu mempelajari undang-undang penghijrahan dan memperjuangkan hak pekerja asing.

Md Rayhan Kabir, 25, kini berada di kampung halamannya berkata kehidupannya berubah secara drastik sejak sebulan lalu, tetapi beliau menganggapnya sebagai permulaan baru.

“Saya memiliki semuanya…tempat tinggal yang baik, sebuah kereta, pekerjaan baik dan kestabilan kewangan. Tetapi, semuanya berakhir selepas saya muncul dalam dokumentari itu,” katanya kepada Dhaka Tribune.

“Saya tidak melakukan jenayah. Apa yang saya mahu ialah membuatkan suara mereka (pekerja asing) didengari dan memberitahu dunia apa yang mereka lalui itu tidak berperikemanusiaan. Mereka (pihak berkuasa Malaysia) tidak boleh mengongkong mereka yang tidak mempunyai dokumen sah.”

Petang 24 Julai lalu, Rayhan diburu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) susulan kenyataan bercanggah yang dibuat semasa temu bual dengan media Al Jazeera berjaya ditahan di sebuah kondominium di Jalan Pahang selepas risikan dan buruan Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya selama dua minggu.

Dia tiba di Bangladesh pada 22 Ogos lalu tanpa sebarang dakwaan tidak mahu hidup di masa lalu dan memikirkan beliau kehilangan apa, sebaliknya beliau memutuskan untuk melanjutkan pelajaran mengenai undang-undang penghijrahan dan memperjuangkan hak pekerja migran.

Rayhan Kabir Mahu Belajar Undang-Undang
Sumber: Dhaka Tribune

Katanya, saluran berita berpangkalan di Qatar itu tidak menghubunginya selepas penahanannya.

Saluran berita Al-Jazeera itu pernah bertanya jika beliau tidak mahu mendedahkan namanya dan menutup mukanya dalam dokumentari itu, bagaimanapun beliau tidak mahu berbuat demikian kerana tidak pernah terlintas tindakannya itu melanggar sebarang undang-undang.

“Bersuara untuk komuniti tidak asing bagi saya kerana saya sudah melakukannya berkali-kali sebelum muncul dalam dokumentari itu. Saya tidak pernah terfikir memberitahu kebenaran akan menyebabkan saya menghadapi banyak masalah.”

Dia turut ditanya mengenai layanan dalam penjara tetapi mengambil keputusan untuk tidak bercakap mengenainya kerana bimbang apa yang dikatakannya mungkin membahayakan pekerja Bangladesh di Malaysia.

“Saya tidak mahu bercakap mengenainya demi kebaikan orang lain. Saya tidak mahu membahayakan ramai pekerja migran yang masih bekerja di Malaysia.”

Sehingga kini, belum ada apa-apa perkembangan mengenai siastan terhadap Al Jazeera.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Sumber: FMT