
Selepas Buat Onar, ‘Karen KLCC’ Tampil Bersuara Mahu Kebebasan Dan Hak Memilih
Selepas Buat Onar, ‘Karen KLCC’ Tampil Bersuara Mahu Kebebasan Dan Hak Memilih.
Baru-baru ini, tular seorang wanita warga asing yang membuat onar di hadapan butik mewah di KLCC selepas dilarang masuk kerana tidak memakai pelitup muka.
Kali ini, wanita yang digelar ‘Karen KLCC’ muncul kembali di media sosial dengan sebuah video bercakap mengenai kebebasan dan hak membuat pilihan.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Twitter @117WeThePeople, wanita terbabit berpendapat tindakannya yang mengundang kemarahan netizen Malaysia itu merupakan pilihannya sendiri.
Dia yang memperkenalkan dirinya sebagai Kerry menyuarakan pandangan agar orang ramai di negara ini sedar akan hak mereka untuk bebas dan membuat pilihan sendiri. Wanita itu juga mendakwa telah datang ke Malaysia sejak 20 tahun lepas.
“Selamat pagi, saya Kerry atau orang kenal sebagai ‘Karen Dior’, dari Manchester ke Malaysia dengan aman dan cinta sejak 20 tahun lepas. Jiwa saya, anak-anak saya semuanya di sini.
“Lagu kita ialah kebebasan, kebebasan untuk pilih apa kita makan, ke mana kita pergi, kita pergi dengan siapa, apa kita lakukan kepada badan kita secara perubatan atau sebaliknya. Ia adalah pilihan, pilihan anda, pilihan saya.
Dalam pada itu, dia juga berkata banyak negara telah menarik semula peraturan berkaitan pandemik COVID-19 seperti tiada lagi sekatan jalan, tidak perlu memakai pelitup muka dan tidak mewajibkan vaksin.
“Banyak negara sudah tarik balik mandat, ada pautan di bawah, anda dijemput baca dan nyatakan pendapat anda.
“Rumah terbuka. Buka mata, hati, jiwa, rumah. Cinta, ketawa, gembira, bayangkan rumah terbuka setiap hari selamanya. Siapa yang tidak tahu hak mereka, tidak mempunyai hak. Kita bebas,” katanya.
https://twitter.com/117WeThePeople/status/1456787452748763136
Perkongsian itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan pendiriannya.
“Anda boleh pergi ke negara di mana mereka tidak menggunakan undang-undang ini, tetapi di negara ini menjaga kesihatan satu sama lain adalah lebih penting daripada ‘keperluan’ individu.
“Anda boleh menjangkiti orang lain jika anda keluar tanpa memakai pelitup muka. Banyak negara Eropah bergelut dengan peningkatan kes berikutan kebebasan pilihan tanpa had itu.”
Dalam hantaran yang sama, akaun Twitter itu juga turut menggambarkan Malaysia adalah negara tirani dengan memaparkan potongan artikel berkaitan siasatan terhadap wanita terbabit.
Terdahulu, wanita tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 di butik Dior KLCC Oktober lalu.
Trending now



