Muflis

Sekurang-Kurangnya 1,000 Rakyat Malaysia Muflis Setiap Bulan Akibat Kenaikan OPR

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Arif berkata, kesan dari pandemik COVID-19 dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selama ini didapati memudaratkan lagi keadaan rakyat.

Dipercayai sekurang-kurangnya 1,000 rakyat Malaysia dianggarkan muflis setiap bulan kerana tidak mampu melangsaikan hutang sejak berlakunya kenaikan OPR.

“Kebanyakan rakyat yang terkena tempias adalah yang bergaji sederhana dalam kelompok RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dan yang mempunyai keluarga yang besar.

“Hampir semua golongan umur termasuk dalam kategori yang boleh diisytiharkan muflis terutamanya usia antara 20 tahun hingga 50 tahun yang memiliki rumah,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan Marllisa Anttony dari Utusan Malaysia.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM sebelum ini telah membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, iaitu kenaikan kali keempat berturut-turut untuk tahun ini.

Berikutan kenaikan terbaharu itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

“Mengapa pegawai bank enggan melakukan perundingan dan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak yang terlibat serta sama-sama mencari solusi.

“Semasa melakukan pemasaran bagi pinjaman, banyak promosi yang ditawarkan tetapi bila tidak dibayar, bank tidak ambil peduli untuk berunding.

“Ini adalah kelemahan pegawai bank sendiri kerana tidak pernah turun padang dan bertanya kepada peminjam masalah yang dihadapi dan bagaimana boleh dibantu,” tambahnya lagi.

“Dijangka keadaan akan lebih teruk sekiranya OPR naik ke 3.00 peratus pada Januari 2023, sudah pasti lebih ramai akan diisytiharkan muflis.

“Saya akan berjuang sehabis mungkin untuk membantu rakyat kerana saya percaya setiap permasalahan pasti ada solusinya,” tegas Rosland.

Menurut Rosland lagi, beliau sendiri menerima antara 10 hingga 15 panggilan telefon setiap hari dan ini tidak termasuk lagi panggilan yang diterima oleh pegawai-pegawai yang lain.

Kebanyakan pemanggil mengadu nasib dan meminta nasihat, ada juga yang hampir bunuh diri kerana tidak dapat menanggung tekanan yang dihadapi disebabkan bebanan hutang.

Muflis

BACA: Kajian Dapati Ramai Anak Muda Umur 25 Tahun Ke Bawah Muflis Kerana Terikat Dengan 5 Faktor Ini

Sumber: Utusan Malaysia