
Segelintir Pekerja Malaysia Tiada Tempat Berteduh, Tidur Di Stesen MRT Singapura
Segelintir rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tiada tempat berteduh di negara itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula semalam hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Mereka diberi pilihan sama ada bekerja dari rumah atau tinggal di tempat yang disediakan oleh majikan Singapura sejurus perintah itu dilaksanakan di negara ini.
Perintah itu, antara lain, meliputi sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap semua rakyat Malaysia ke luar negara, selain menghalang kemasukan pelawat dan pelancong asing ke negara ini.
Memetik laporan Malay Mail dari tinjauan TODAY, salah seorang warga Malaysia yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di republik itu membuat pilihan untuk tidur di stesen MRT pada waktu malam sebelum sambung bekerja pada keesokan harinya.
Kata pekerja yang merupakan seorang bapa kepada dua orang anak itu, dia hanya tidur selama empat jam sebelum perlu bangun pada pukul 5 pagi kerana waktu itu stesen mula beroperasi.
Dia antara 20 warga Malaysia yang berulang-alik menghabiskan sisa malamnya berhampiran stesen MRT di situ sementara majikannya mencari penginapan untuknya.
Stesen MRT Kranji biasanya sibuk sekitar jam 10 malam, dengan penumpang menunggu perkhidmatan bas merentas sempadan ke Johor Bahru, namun keadaan kekal tenang tanpa apa-apa aktiviti orang ramai ketika wartawan TODAY tiba di kawasan itu.
Di belakang stesen tersebut, bebebrapa pekerja warga Malaysia mula mencari tempat di atas lantai yang sejuk dan keras. Mereka membuka payung untuk berteduh melindungi diri mereka ketika berbaring dengan menggunakan beg, jaket dan topi mereka sebagai bantal sementara.
Hanya dompet, telefon pintar tanpa akses Internet, pengecas mudah alih, minyak rambut, dan pembersih mulut yang mampu dibawa kerana tidak sempat untuk mengemas barang sebelum sekatan perjalanan dilaksanakan.

Mujurlah rakyat Singapura memahami masalah yang dihadapi pekerja Malaysia di negara itu. Beberapa aktivis di sana memberi beg tidur, air dan makanan ringan kepada mereka.
“Saya akan terus bekerja di sini walaupun perintah kawalan pergerakan dilanjutkan kerana saya perlu mencari nafkah untuk keluarga saya.
“Saya sangat letih tapi tidak boleh tidur kerana sangat merindui mereka,” kata pekerja terbabit.
Menerusi tinjauan, kebanyakan hotel bajet di sana sudah pun ditempah sepenuhnya sehingga akhir bulan ini susulan perintah yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Kira-kira 400,000 orang memasuki Singapura menerusi Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah setiap hari, yang mana separuh daripada jumlah itu adalah warganegara Malaysia yang bekerja di republik berkenaan.
Sumber: Malay Mail