Sederhana Tapi Penuh Makna, Ini Kelebihan Sugu Pavithra Yang Tiada Pada Youtubers Lain

Sederhana Tapi Penuh Makna, Ini Kelebihan Sugu Pavithra Yang Tiada Pada Youtubers Lain

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sederhana tapi penuh makna. Itu kelebihan utama yang ada pada setiap video yang dimuat naik oleh Youtuber Sugu Pavithra.

Berjaya menambat hati rakyat Malaysia, bakat memasak yang dimiliki pasangan suami isteri ini bukan sahaja menarik perhatian netizen namun turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baru sahaja memasuki dunia Youtube sejak Januari lalu, Sugu Pavithra setakat ini sudah berjaya mengumpulkan lebih 547,000 pengikut dengan jumlah tontonan sudah mencecah 16 juta pada 72 video yang dimuat naik.

Apa kelebihan yang ada pada pasangan suami isteri ini yang tiada pada Youtubers lain?

1. Petah bertutur bahasa Melayu

Mempunyai perwatakan yang lemah lebut, Sugu Pavithra tidak malu menggunakan bahasa Melayu dan petah bertutur dengannya.

BACA:Β 3 Orang Ini Jana Pendapatan Daripada YouTube Dengan Hanya Rakam Aktiviti Seharian

Meskipun pernah dipersoalkan mengapa tidak menggunakan bahasa Tamil kerana beliau berbangsa India, jawapannya mudah sahaja. Beliau memberitahu mengapa perlu menggunakan bahasa yang hanya sesetengah orang sahaja boleh memahami sedangkan jika menggunakan bahasa Melayu, semua orang di Malaysia akan memahaminya.

2. Tidak malu berkongsi kisah kesusahan hidup

Dalam satu video, Pavithra pernah berkongsikan kisah kesusahan hidupnya. Tidak mempunyai peralatan memasak yang canggih, cukup dengan hanya satu sudip, satu kuali dan dua periuk termasuk periuk nasi, Pavithra yang merupakan seorang suri rumah memulakan kerjaya sebagai Youtubers selepas mendapat saranan daripada seorang rakan baiknya yang juga merupakan Youtubers.

Sederhana Tapi Penuh Makna, Ini Kelebihan Sugu Pavithra Yang Tiada Pada Youtubers Lain 1
Sumber: Youtube Sugu Pavithra

Hanya merakamkan video menggunakan telefon bimbit yang dibeli dan dibayar secara ansuran, rakaman hanya dibuat selepas suami pulang kerja atau pun hari cuti dan suntingan pula dilakukan selepas makan.

Mengharapkan suami yang hanya bekerja sebagai pekerja ladang kelapa sawit, Pavithra pernah mendedahkan, kadangkala hutang yang dibayar selepas suaminya mendapat gaji melebihi hampir separuh daripadanya.

3. Resipi yang mudah dan unik

Jika anda perasan, resipi yang dikongsikan beliau semuanya menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati. Malah langkah memasak yang ditunjukkan juga mudah. Berkongsikan resipi masakan-masakan India, Sugu Pavithra pernah menerima komen negatif daripada beberapa individu yang marah kerana berkongsikan resipi yang sepatutnya menjadi ‘rahsia’ kaum mereka.

Populariti Sugu Pavithra ini menyebabkan ramai artis dan Youtubers lain yang turut mencubanya sebagai contoh atlet bina badan, Sazali Samad dan Youtubers Jepun, iChangRM.

4. Dapur yang bersih

Ada penonton yang menonton video-video pasangan ini kerana kagum melihat kebersihan dapurnya. Pernah memuat naik satu video berkongsi rahsia mencuci kuali sehingga berkilat, di ruangan komen rata-rata daripada penonton turut berkongsi sama rahsia mereka dalam menjaga peralatan dapur.

https://www.youtube.com/watch?v=BmVHR4JeVeA

5. Kemesraan keluarga

Sifat ringan tulang suami Pavithra, Sugu mendapat pujian penonton. Malah pasangan ini ada juga berkongsi perjalanan Sugu mencari sayuran untuk dimasak.Β  Setiap kali selepas habis memasak, pasti akan ada adegan babak mereka sekeluarga makan bersama.

https://www.youtube.com/watch?v=C7Fdu3mUHJc

Jika anda merujuk pada SocialBlade, jumlah pendapatan yang dijangka diterima pasangan ini boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit, namun ini disangkal oleh seorang rakan Youtubers lain iaitu Ridzwan Mahazan.