
Sebelum Naik Ketahui Dulu SOP Keselamatan Aktiviti Ekstrem ‘Rope Swing’
Aktiviti sukan ekstrem hayunan tali tinggi atau lebih dikenali sebagai rope swing semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia, namun masih ramai yang tak tahu mengenai SOP keselamatan ini.
Semalam rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu insiden melibatkan seorang wanita yang terjatuh semasa melakukan aktiviti terjunan rope swing sehingga menyebabkan tulang belakang beliau patah akibat daripada terhempas pada batu dari ketinggian 10 meter.
BACA: Aktiviti Berbasikal Boleh Jadi Punca Seseorang Mati Pucuk
Dalam satu temu bual perunding profesional aktiviti tali tinggi, TaliPRO yang bernaung di bawah syarikat Sausiah Vision Sdn Bhd, Mohamad Shaheir Sabaruddin pada 2018 bersama Harian Metro, masih belum ada standard operasi (SOP) yang boleh dijadikan sebagai panduan khas, namun konsep keselamatan yang diguna pakai dalam rope swing adalah sama seperti yang dipraktikkan dalam aktiviti berkenaan terutamanya membabitkan prosedur penggunaan tali berpandukan garis panduan amalan terbaik semasa.
Jenis tali rope swing
Menurut Shaheir, tali yang paling sesuai digunakan untuk aktiviti rope swing adalah tali Kernmantle berdiameter 10.5mm kurang regangan kerana mampu menampung kekuatan minimum sehingga 30 kilonewton dan berat bebanan sehingga tiga tan untuk satu tali – dua tali digunakan untuk memegang setiap penerjun.

Hanya tali berkualiti tinggi dan mempunyai label keselamatan digunakan dengan jangka hayat antara 10 hingga 15 tahun dari hari dibuat, namun ianya bergantung kepada kekerapan dan cara penggunaannya.
Fungsi kurang regangan mampu membantu menyerap sedikit kesan hentakan sekiranya tali dihayunkan bersama beban. Selain aktiviti ekstrem ini, tali jenis Kernmantle sesuai juga digunakan semasa atau sebagai:
- aktiviti abseiling,
- penerokaan gua,
- kerja menyelamat, dan
- tali keselamatan ketika bekerja di tempat tinggi.
Biasanya tali akan diperiksa secara teknik visual dan sentuhan ke atas keseluruhan panjang tali dan sekurangnya sekali setahun, akan adanya pemeriksaan tali daripada pemeriksa profesional.

Jika tali terdedah kepada bahan kimia beban jatuh yang berat, geseran yang teruk, kepanasan mencairkan material dan melebihi jangka hayat, ianya akan dihentikan daripada terus digunakan.
Faktor penilaian lain
Shaheir yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam industri tali tinggi menjelaskan kemampuan pokok juga perlu diberatkan – sama ada pokok mampu atau tidak untuk menambat dan menahan tali besi selain daripada faktor cara pemasangan tali besi, pengurusan risiko, pelan tindakan kecemasan dan persekitaran (akses laluan).

Perakuan daripada pihak berkenaan
Mengulas mengenai aktiviti rope swing yang dianjurkan Rentas Adventures (Rentas), Shaheir berkata ianya mendapat perakuan bertulis daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Kerja Raya, Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara, dan Persatuan Litar Cabaran Malaysia.
Dokumen persetujuan
Sebelum memulakan aktiviti, ada beberapa dokumen yang perlu peserta tandatangan antaranya borang persetujuan mengenai tuntutan sekiranya berlaku sebarang kemalangan, merekodkan jumlah terjunan, menimbang berat badan peserta dan mengehadkan hanya 40 kali terjunan dilakukan dalam masa sehari.
Insurans tak cover
Ramai yang tak tahu. Insuran tak cover. Pastinya penganjur pemainan ni dah minta perserta sign indemnity form. Apa2 nahas, syarikat tu tak tanggung. Begitu? Tiba2 satu dunia terbalik apabila benda ini berlaku. Moga2 dipermudahkan. Doa yg terbaik utk mangsa.
— mycire (@Malacire) September 30, 2020