Sean Lee DC League of Super-Pets

Sean Lee Bertuah Dapat Digandingkan Bersama Dwayne Johnson, Kevin Hart Dan Keanu Reeves

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Warner Bros. Pictures telah mengesahkan pelakon dan selebriti Sean Lee atau juga dikenali dengan SeanLJE telah dipilih untuk menyumbangkan suaranya dalam filem animasi DC League of Super-Pets yang akan ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia bermula 28 Julai 2022.

1 Sean Lee DC League of Super-Pets

Sean Lee dipilih untuk menghidupkan watak Waffles, seekor anjing Boston Terrier yang tinggal di Metropolis.

Dia berasa sangat gembira dan bertuah kerana tidak disangka-sangka telah diberi peluang untuk menggilap bakatnya dalam sebuah produksi Hollywood.

Sebelum ini, Sean Lee pernah membintangi drama bersiri The Hotel, Romantika 4 Hari 3 Malam dan Jujurlah Nikahi Aku.

“Saya bersyukur kerana impian saya sejak kecil untuk menyumbang suara kepada watak dalam filem animasi telah benar-benar menjadi kenyataan dan saya sangat berbangga dapat mewakili Malaysia dalam suntingan khas filem antarabangsa ini!” jelas Sean Lee.

Sean Lee DC League of Super-Pets

Walaupun hanya sebagai ‘kele-feh’ atau watak berperanan kecil dan tidak penting, namun Sean Lee akui dirinya sangat teruja kerana berpeluang untuk memberikan personaliti tersendiri untuk watak tersebut.

Berasal dari Subang Jaya, Sean Lee yang juga merupakan seorang hos rancangan hiburan menyifatkan watak Waffles tersebut sebagai seekor anjing jujur yang turut berasal dari Subang Jaya, Malaysia, namun dibawa oleh pemiliknya untuk berpindah ke Metropolis sebagai ekspatriat.

Mengambil kira betapa seriusnya dia menghayati watak tersebut, Sean Lee turut memuatkan loghat dan dialek tempatan rakyat Malaysia untuk watak Waffles.

Ini merupakan pertama kali Warner Bros. memilih pelakon Malaysia untuk sama-sama memberikan sentuhan istimewa agar penonton dapat menghargai serta mengaitkan watak dari filem yang dipersembahkan dengan budaya tempatan.

DC League of Super-Pets dibintangi oleh barisan nama besar Hollywood seperti Dwayne Johnson, Kevin Hart, Kate McKinnon, John Krasinski, Vanessa Bayer, Natasha Lyonne, Diego Luna dan Keanu Reeves.

Sean Lee DC League of Super-Pets

Filem ini mengisahkan sekumpulan haiwan peliharaan yang turut mempunyai kuasa luar biasa dan sama-sama memerangi jenayah di Metropolis bersama adiwira-adiwira DC.

Apabila Superman dan Justice League diculik, mereka terpaksa bersatu dan bertungkus lumus untuk menyelamatkan mereka dan kota Metropolis dari ancaman kemusnahan oleh penjahat.

BACA: Donnie Yen Bakal Bergabung Dengan Keanu Reeves Dalam John Wick 4

Sumber: The Sun Daily