
‘Scalper’ Kantoi Jual Kad Touch ‘n Go NFC Letak Harga Sampai 5 Kali Ganda
Awas! Golongan ‘scalper’ kini sedang dalam pemerhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang sedang giat melakukan pemantauan penjualan kad Touch ‘n Go (TnG) Komunikasi Medan Dekat (NFC) di seluruh negara.
“Penjualan kad NFC TnG sejak April tahun ini mengundang polemik dalam kalangan rakyat apabila rata-rata mengadu bahawa ia sukar didapati berikutan bekalan yang terhad di semua saluran seperti diuar-uarkan,” jelas Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurut portal Majoriti, beliau juga berkata, pengurusan kanan kementerian akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG pada minggu ini bagi mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna.
Portal berita itu turut melaporkan, seorang pekerja kaunter pembayaran sebuah stesen minyak menerima padah selepas dikesan menjual kad TnG NFC pada kadar lebih lima ganda menerusi platform pasaran dalam talian.
Kegiatan haram ‘scalper’ kad TnG NFC tersebut ter’kantoi’ setelah dapat dikesan oleh KPDNHEP dalam beberapa siri pemantauan aktif yang dibuat selama ini.
Bagi tempoh dari April hingga 25 September lalu sahaja, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC, selain mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa platform dalam talian.
“Berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama,” jelas Menteri KPDNHEP itu lagi.
BACA: Penjualan Kad Touch ‘n Go Dengan Teknologi NFC ‘Buka Lubang’ Perbuatan HARAM
Sumber: Majoriti