
‘Saya Pergi Dengan Duit Sendiri’, Ebit Lew Nafi Dakwaan Bazir Hasil Sumbangan Dalam Misi Gaza
Ebit Lew nafi bazirkan hasil sumbangan dalam misi Gaza.
Selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang semalam, pendakwah yang aktif dengan kerja-kerja kebajikan, Ebit Lew menafikan di hadapan media bahawa beliau membazirkan hasil sumbangan dalam misi untuk masuk ke Gaza.
BACA: Saudaraku, Anda Kini Boleh Miliki Kemeja T Sama Seperti Ebit Lew
Beliau menjelaskan bahawa segala kos perbelanjaan misi kemanusiaan itu menggunakan wangnya sendiri dan bukannya kutipan dari mana-mana tabung derma.
“Saya pergi dengan duit saya sendiri dan tak pernah buka satu tabung pun untuk misi berkenaan.
Bagaimanapun, apabila ada pihak yang menyatakan sebaliknya maka saya anggap ini sebagai ujian dari Allah SWT.”
Turut memberitahu ada bukti untuk menepis dakwaan-dakwaan yang ditujukan kepada beliau, Ebit Lew memaklumkan akan menjawab segala tuduhan terhadapnya secara terperinci pada hari ini.

Sementara itu, peguam yang mewakili beliau, Datuk Hasnal Rezua Merican menegaskan tindakan perundangan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terus membuat pelbagai dakwaan terhadap anak guamnya dan tinjauan akan dibuat dalam pelbagai platform yang ada.
Susulan itu juga, sesi siaran langsung yang sepatutnya dibuat semalam oleh penyanyi Caprice dibatalkan.
Sementara itu, Nadir Al-Nuri dalam satu hantaran di Facebook memberitahu kotak sumbangan Ebit Lew yang dibeli di Cairo telah masuk pada hari raya pertama bersama lagi 300 tan bantuan lain seperti makanan dan bekalan ubat-ubatan.
Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook, Ebit Lew, seramai 60,000 rakyat Malaysia di seluruh negara membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan bekalan dapur dalam tempoh kurang 24 jam selepas permohonan dibuka.
Sebanyak 15 nombor telefon di 15 lokasi di seluruh negara menerima panggilan bertubi-tubi dan mesej WhatsApp dari pemohon.
Baca lanjut: Tak Sampai 24 Jam Ebit Lew Terima 60,000 Permohonan Bantuan Bekalan Dapur