
‘Saya Buat Gelang Getah Biru Ini Untuk Doktor’ – Surat Kanak-Kanak Ini Dibalas Dr Noor Hisham
Surat kanak-kanak mengucapkan terima kasih dibalas Dr Noor Hisham.
Sejak wabak COVID-19 melanda negara, media kini banyak menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perkembangan semasa kes ini. Dalam situasi getir ini, petugas barisan hadapan adalah yang diharapkan agar Malaysia berjaya menangani wabak berbahaya ini.
Sememangnya, pengorbanan petugas barisan hadapan terutama mereka yang berada di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak terbalas. Semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda, yang bertugas atau tidak mengharapkan akan adanya sinar dalam menentang penularan wabak COVID-19.
Tidak terkecuali, seorang kanak-kanak yang dikenali Lara Khadijah McAfee menulis surat menghadiahkan seutas gelang getah (gelang persahabatan) hasil buatan sendiri sebagai menghargai peranan yang dilakukan oleh Dr Noor Hisham dalam membendung wabak COVID-19 daripada terus menjangkiti rakyat Malaysia.
“Saya buat gelang getah ini untuk dipakai oleh rakan-rakan sebagai tanda persahabatan dengan mereka. Saya buat gelang getah biru ini untuk doktor sebagai ucapan terima kasih atas apa yang doktor lakukan untuk rakyat Malaysia,” tulis Lara dalam surat berkenaan.
Lara yang berumur sembilan tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu turut mendoakan agar Ketua Pengarah Kesihatan itu kekal selamat.
Apa yang menarik perhatian lagi, surat ringkas daripada kanak-kanak itu tetap dibalas oleh Dr. Noor Hisham walaupun semua rakyat Malaysia tahu beliau sering sibuk sejak penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Dalam surat rasmi bertarikh 16 April, Dr. Hisham yang menandatangani surat tersebut sebagai ‘rakan baru anda’ memberitahu gelang getah yang dihadiahkan Lara telah diberikan kepada cucu perempuannya.

“Terima kasih atas surat anda dan gelang yang cantik itu. Cucu perempuan saya memakainya dan menyukainya,” kata Dr. Noor Hisham.
Dr. Noor Hisham memberitahu Lara bahawa dia bertuah kerana mempunyai pasukan yang hebat untuk membantu negara menghadapi COVID-19.
“Rakyat Malaysia seperti anda juga telah memainkan peranan yang penting dengan kekal tinggal di dalam rumah. Jadi terus berbuat demikian dan bersama-sama, kita boleh mengalahkan virus ini.”
“Saya harap Lara akan terus belajar dengan tekun sehingga ke menara gading. Satu hari nanti tiba masa anda pula untuk membantu rakyat Malaysia. Teruskan dengan impian anda dan bekerja keras untuk menjayakannya,” balas Dr. Noor Hisham.
Beliau juga meminta Lara untuk tidak bimbang kerana situasi yang dialami sekarang tidak lama dan dengan pertolongan Tuhan ia akan diatasi tidak lama lagi.
Surat tersebut dikongsi menerusi Facebook Mafas Hasan dan kini tular di media sosial lain.