Satu Tapak Niaga Pasar Borong KL Boleh Dijual Sehingga RM1 Juta Kepada Warga Asing

Pekerja Pasar Borong Diperlukan

Percaya atau tidak satu tapak niaga Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) boleh dijual sehingga RM1 juta kepada warga asing yang mahu berniaga di sana.

BACA: Tak Beri Muka, DBKL Terus Gempur Aktiviti Perniagaan Haram Warga Asing Degil

Menjadi lokasi tumpuan umum warga asing, pemegang lesen kebiasaannya menawarkan harga sekitar RM500,000 hingga RM1 juta dan menyasarkan warga Myanmar dan Bangladesh keran keupayaan mereka membayar jumlah yang ditawarkan.

Dalam satu pendedahan daripada sumber kepada Harian Metro, biarpun mahal warga asing akan tetap membeli dalam nilai yang ditawarkan pemegang lesen kerana mengetahui hasil keuntungan jualan yang boleh dikaut dalam tempoh masa niaga setahun mampu mencecah jutaan ringgit. Malah ada ‘konsortium’ yang sedia membantu mereka mengumpulkan dana bagi pembelian tapak.

Mahu mengaut untung mudah dan cepat, pemegang lesen akan menguruskan segala urusan berkaitan lesen dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan kegiatan mereka sukar dikesan.

“Pembeli tapak warga asing pula hanya perlu bayar secara one-off (bayar sekali gus) jumlah yang dipersetujui dan segala urusan PBT akan diuruskan pemegang lesen manakala warga asing akan menyamar sebagai pekerja jika pemeriksaan mengejut dijalankan.”

Menurut sumber lagi, warga asing mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana mampu menerima upah RM300 hingga RM500 sehari sekiranya bekerja di pasar borong dan Pasar Harian Selayang.

Daripada pendapatan tersebut, mereka akan mengumpulkan wang bersama beberapa lagi rakan senegara sebelum mencari pemilik tempatan yang mahu menawarkan tapak kepada mereka.

BACA: 3,000 Pekerja Diperlukan, Ini Peluang Rakyat Tempatan Monopoli Pasar Borong

Gara-gara keuntungan yang mampu mencecah jutaan ringgit sebagai pemborong bahan mentah menyebabkan kumpulan warga asing ini tidak kisah melaburkan wang demi mendapatkan satu tapak niaga di sana.

“Jika mereka sudah ada tapak, tiada masalah mendapatkan pelanggan kerana PBKL dan Pasar Harian Selayang menjadi tumpuan umum peniaga seluruh negara mendapatkan bekalan.”

Menurut sumber, dakwaan tersebut berasas kerana sekurang-kurangnya 50 tapak pasar boorng dan 100 tapak pasar harian masih lagi tidak berpenghuni kerana pemiliknya adalah warga asing selepas kawasan berkenaan ‘dibersihkan’.

Pekerja Pasar Borong Diperlukan

Operasi ini sukar dikesan kerana taktik yang digunakan antara pemegang lesen dengan warga asing begitu licik sehingga ianya sukar dikesan dan dibuktikan.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berdasarkan Undang-Undang Kecil (UUK) Pasar Borong Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2002, UKK Pelesenan Pasar Borong WPKL 2016 dan UKK Pelesenan Penjaja WPKL 2016, hanya warga tempatan dibenarkan berniaga di lokasi berkenaan.

BACA: Demi Pastikan Tiada Penjaja Warga Asing, Lebih 100 Kedai Kini Ditutup DBKL

Sebagai langkah mengelakkan ini berlaku, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan bancian ke atas pelesen dan pembantu di pasar borong (sudah bermula 18 Mei lalu) dan tindakan penguatkuasaan diambil sekiranya warga asing diambil untuk bekerja.

Kumpulan pemegang lesen ini digelar sebagai pengkhianat ekonomi kerana sanggup membunuh ekonomi domestik gara-gara mahu mengaut keuntungan atas angin berlipat ganda daripada warga asing yang sentiasa mencari peluang sehingga menyebabkan peniaga tempatan terasing.