Azmi Saat Caliph Busker Pengorbaan Isteri

Sanggup Tolak Tawaran Lumayan, Ini Kisah Pengorbanan Azmi Caliph Busker Demi Isteri Tercinta

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tipulah jika setiap perkahwinan tidak pernah teruji dengan masalah. Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Ada yang berjaya diselesaikan dengan perdamaian, namun ada juga yang jodohnya tidak panjang berakhir dengan perpisahan.

Azmi Saat, vokalis utama kumpulan Caliph Busker terkenal dengan vokalnya yang padu dan stabil turut berkongsikan kisah perkahwinan beliau bersama isteri tercinta yang turut pernah diuji dengan krisis.

Sebagai seorang penyanyi, jadual perjalanan karier Azmi agak padat sehingga adakalanya memerlukan beliau untuk bermalam di luar. Namun kerana isterinya tidak boleh ditinggalkan seorang pada waktu malam, Azmi terpaksa menolak tawaran yang adakalanya menawarkan bayaran yang lumayan.

Kata Azmi, isterinya jika tinggal berseorangan pada waktu malam akan merasa resah, bimbang dan takut dan disebabkan hal inilah mereka sering bertengkar kerana pada awal kemuncak Caliph Busker dikenali, jadual mereka terlalu padat.

Azmi Saat Caliph Busker Pengorbaan Isteri 1

Mahu menolak, kebiasaannya penganjur akan menolak jika beliau tiada kerana peranannya sebagai vokalis utama kumpulan tersebut. Keadaan ini menyebabkan lebih banyak berlaku pertengkaran antara beliau dan isterinya sehinggalah isterinya meluahkan rasa hati beliau,

“Dari awal perkahwinan kita cuma satu sahaja yang saya minta. Saya sangat memerlukan awak di waktu malam. Semenjak awak dah jadi artis saya selalu ditinggalkan. Saya faham awak ada kerjaya sekarang tapi saya sangat perlukan awak. Saya tak kisah kita hidup susah sekalipun asalkan awak selalu ada dengan saya.”

“Siapalah saya untuk menghalang awak mengejar kerjaya awak. Sekarang saya minta awak buatlah pilihan. Jika awak benar-benar mahu mengejar kerjaya sebagai penyanyi yang sibuk, tolonglah lepaskan saya. Namun seandainya awak lebih memilih saya, buatlah sesuatu supaya saya tak selalu ditinggalkan bersendirian.”

Tidak mahu mengecilkan hati si isteri yang terlalu banyak berkorban deminya terutama di fasa-fasa awal perkahwinan, Azmi mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada ahli kumpulannya dan syarikat KRU Music selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap mereka pada ketika itu tentang pendiriannya.

Azmi Saat Caliph Busker Pengorbaan Isteri 3

Bukan semua dapat menerima pendiriannya dengan baik, malah ada juga tohmahan seperti ‘takut isteri’ yang beliau terima. Ada juga yang mengatakan dengan pendirian sebegitu, beliau tidak akan kemana kerana ‘tempoh naik’ artis ada masanya.

Siapa sahaja yang tidak tertekan menerima kata-kata sebegini, namun pertemuannya dengan seorang sahabat telah menyebabkan beliau tetap berpegang teguh pada pendiriannya.

“Mi. Isteri ini tanggungjawab kita. Selain bagi makan, tempat tinggal dan pakaian, ketenangan dan kebahagian juga wajib seorang suami berikan pada isteri. Untuk apa banyak duit kalau tak gembira. Untuk apa kaya kalau tak bahagia?

“Isteri yang baik tak akan sama nilainya dengan semua kemewahan yang ada di dunia ni Mi. Mereka akan sentiasa ada waktu kita susah. Mereka yang jaga waktu kita sakit. Mereka akan sambut waktu kita jatuh. Aku dapat rasakan isteri kau seorang yang baik. Kau hargailah dia. Tak akan pernah rugi kalau kau bahagiakan isteri yang baik. Kalau kau orang sepakat dalam berumah tangga, percayalah rezeki akan datang melimpah ruah lepas ni.”

Selepas daripada itu, beliau berbincang untuk mendapatkan redha isterinya dan tanpa sangka macam-macam rezeki yang beliau terima antaranya penyertaan dalam Gema Gegar Vaganza musim pertama sehingga berjaya ke final, menggantikan Faizal Tahir untuk Anugerah Juara Lagu 32 dan mendapat tempat kedua, juri Mikrofon Impian dan bertanding di Muzikal Lawak Superstar. Bukan itu sahaja, kumpulan beliau, Caliph Busker turut menerima tawaran tidak putus-putus daripada pelbagai pihak.

https://www.instagram.com/p/BzZ0StYjXpa/

Sempat menyampaikan pesanan, Azmi menasihati pasangan yang sudah berkahwin supaya sentiasa meluangkan masa bersama walaupun sibuk dengan kerjaya. Fahami dan sayangilah pasangan kerana tiada siapa yang layak memahami mereka selain daripada kita.

Jika rumah tangga dibina dengan kasih sayang, pasti di dalamnya akan terkandung berkat dan dilimpahkan dengan banyak kebaikan Apa gunanya jika duit banyak tetapi hati isteri tidak mampu dibahagiakan?

Sumber: Azmi Saat

 

Jom saksikan Rambo: Last Blood di pawagam berdekatan sekarang!

https://www.instagram.com/p/B2VveBwFlX8/