
Sanggup Keluarkan Duit Simpanan Untuk Tolong Orang, Ini Kisah Inspirasi Pak Mail Jemput-Jemput 10 Sen
Sanggup keluarkan duit simpanan untuk bantu mereka yang terjejas, kisah Pak Mail jemput-jemput 10 sen yang pernah tular tahun lalu sepatutnya menjadikan inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia.
BACA: Baru Bangun Daripada Koma 6 Bulan Lalu, Lelaki Kongsi Kisah Inspirasi Pemuda Petronas Ini
Walaupun hidup hanya bergantung kepada hasil perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan, Pak Mail tetap optimis dan yakin bahawa rezeki itu semuanya daripada Tuhan dan perlu dikongsikan dengan mereka yang memerlukan.

Menjadi tular selepas satu saluran YouTube, FS Channel membuat liputan melawat gerai jualannya di Jalan Kampung Melayu, Kluang, Johor, sosok lelaki yang lebih mesra dipanggil Pak Mail, 74 tahun sanggup keluarkan wang simpanannya demi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Dalam satu liputan Gempak, Pak Mail yang digelarkan sebagai ‘The Kluang Man’ memberitahu melalui ceramah yang beliau dengar, ustaz selalu mengingatkannya ‘duit yang kita dapat, rezeki yang kita dapat, bukan hak kita seorang tapi hak orang ramai. ak yang kita dapat adalah pahala sedekah’.
Aktif membantu golongan yang memerlukan di kawasan Kluang, Johor, perniagaan merupakan salah satu usahanya dalam membesaran 12 orang anak-anaknya setelah isterinya meninggal dunia 24 tahun lalu.
Jemput-jemput yang beliau jual bukan jemput-jemput biasa tetapi dihasilkan daripada pelbagai buah antaranya nangka, betik, jagung, nenas, tembikai susu dan sayur dan kesemuanya sehingga kini masih dijual dengan harga 10 sen sebiji.
Biarpun aktiviti berniaga ini hanya sekadar mengisi masa lapang, dalam masa sehari, jumlah yang mampu dijual beliau adalah sebanyak 2,000 ketul dan pada bulan Ramadan, jemput-jemput hanya diberikan secara percuma sahaja kepada orang ramai.
