Petisyen BAM Lee Zii Jia

‘Sampai Ke Luar Negara’ – Petisyen Desak BAM Tarik Balik Tindakan Terhadap Pemain Badminton Raih Lebih 100 Ribu Tandatangan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Petisyen mendesak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menarik balik tindakan dikenakan terhadap pemain badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei raih lebih 100,000 ribu tandatangan dalam tempoh masa tiga hari.

Isu antara BAM dan Lee Zii Jia kini menjadi sohor kini di media sosial yang rata-rata menyalahkan persatuan itu kerana menjatuhkan hukuman kepada pemain badminton nombor tujuh dunia apabila tidak akan mendaftarkannya menyertai mana-mana pertandingan antarabangsa untuk tempoh dua tahun.

Ia susulan keputusan kedua-dua pemain berkenaan yang mahu meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional. Ini bermakna pemain itu bakal terlepas tiga kejohanan utama iaitu Sukan Asia, Komanwel dan juga Olimpik.

Bagaimanapun, Zii Jia mendapat sokongan ribuan penyokong dengan satu kempen di Twitter menerusi akaun Malaysia Badminton Lovers menarik perhatian ramai dalam usaha mereka mempertahankan keputusan Zii Jia dan rakannya Goh Jin Wei.

Malah petisyen berkenaan turut ditandatangani penyokong dari Brazil, Indonesia, Singapura dan ramai lagi termasuk pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark yang menganggap hukuman itu tidak wajar ketika mereka memilih haluan sendiri untuk meneruskan karier.

Petisyen BAM Lee Zii Jia
Sumber: HeroesChampion

Bekas juara dunia, Camilla Martin dari Denmark menggesa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) campur tangan dalam isu itu ketika lebih 30 pemain dari seluruh dunia termasuk dari Eropah, Amerika Selatan, Oceania dan Asia turut memberikan sokongan.

Petisyen BAM Lee Zii Jia

BAM bukan syarikat komersial

Kemelut ini turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menasihatkan BAM menyelesaikan secara baik dengan Zii Jia.

Beliau turut mengingatkan BAM bahawa ia bukan sebuah syarikat komersial sebaliknya merupakan sebuah organisasi yang diamanahkan untuk meningkatkan kualiti badminton di Malaysia.

Setakat ini, masih tiada sebarang komen diberikan Zii Jia malah turut membisu di laman sosial miliknya, Facebook dan Instagram.

Manakala juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei membuka mulut tidak tahu apa salah yang telah dilakukan hingga dikenakan hukuman seperti itu sedangkan dia meninggalkan skuad kebangsaan atas persetujuan pihak pengurusan badan induk badminton negara itu kerana faktor kesihatan.

“Jika anda enggan mendaftarkan saya, saya tidak dapat bermain di peringkat anatrabangsa dan ini akan menjejaskan kehidupan saya. Badminton satu-satunya kemahiran yang saya ada dan itu kerja saya, bagaimana saya hendak bertahan?” katanya di YouTube.