Peringkat PhD

Sambung Belajar Hingga Ke Peringkat PhD: Perlu Atau Tidak Perlu?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Benarkah sekarang ini, belajar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah atau Doctor of Philosophy (PhD) sudah tidak lagi relevan?

Ramai yang mempunyai pendapat yang berbeza mengenai isu ini. Ada juga yang berpendapat pada zaman yang sukar ini, kelulusan PhD juga sudah tidak lagi berbaloi.

Tidak dinafikan, cabaran dan dugaan untuk sampai ke peringkat PhD adalah cukup berat serta tidak ramai yang sanggup untuk menempuhinya.

Oleh itu, melalui satu hantaran yang dibuat oleh Dr. Abdel Rahmanov di Facebooknya, beliau telah menasihatkan mereka yang berniat untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD agar mengabaikan sahaja hasrat mereka itu.

Namun, di ruangan komen, seorang lagi pengguna Facebook, Mohd Shah Rizal Samsudin berpendapat sebaliknya dan turut memberikan hujah-hujahnya.

Perlu atau tidak perlu belajar hingga ke peringkat PhD? Jom baca perkongsian yang sangat menarik ini.

1 Peringkat PhD

Jika ada orang dari industri ingin buat PhD. Saya secara jujur akan nasihat kepadanya, “Hang tak perlu buat PhD. Abaikan sahaja hasrat tu”

  1. Namun jika dia tetap berkeras mahu buat PhD. Saya akan tanya dia, “Kenapa hang hendak buat PhD?”
  2. Jika dia buat PhD pasal mencari kerja. Maka saya nasihatkan lupakan sahaja. Sebab bukan senang hendak habiskan PhD. Ramai yang tewas sebelum sampai ke garisan penamat.
  3. Jika mahu menggunakan PhD di industri. Orang HR akan kata “over qualified”. Sebab bos hang pun ada First Degree sahaja. Hang ada PhD. Ini namanya lawan tauke. Industri lebih melihat kepada prestasi kerja dan bukan kelayakan akademik.
  4. Jika mahu mencuba dunia akademik. Maka ia lagi sukar kerana universiti sekarang pentingkan penulisan jurnal akademik tahap dewa kayangan. Jika hanya ada artikel dalam jurnal tempatan maka lupakan sahaja untuk menceburi dunia akademik.
  5. Sesetengah pensyarah menggalakkan pelajar mengambil PhD dan sering menggambarkan peluang kerjaya yang cerah. Sebenarnya realiti tidak begitu. Kadang-kadang pensyarah berada dalam dunia yang terasing.
  6. Mereka yang mengambil PhD perlu memikirkan dengan lumat peluang kerja selepas tamat PhD. Tidak boleh hanya berserah diri tanpa perancangan.
  7. Jangan samakan diri kita dengan kawan-kawan yang sudah lama berada di dunia akademik. Mereka mengambil PhD kerana tanggungjawab sebagai ahli akademik dan kerjaya mereka sudah terjamin apabila tamat pengajian PhD.
  8. Ambil PhD perlu tahan tekanan atau ‘pressure’. Cuba bayangkan selagi kita tidak habis PhD, apabila kita jumpa siapa-siapa sama ada kawan, jiran atau sanak saudara, pasti orang itu akan bertanya, “Dah habis ke PHD?” atau “Macam mana study PHD?” Mereka bertanya bukan sebab ‘busy body’ tetapi sebab ambil berat. Tetapi nak jawab soalan ini cukup memberi tekanan. Aargh!
  9. Tetapi jika orang itu memang berkeras mahu buat PhD. Maka saya akan katakan kepadanya, “Moga Allah permudahkan urusan hang. PhD memang dunia hang”
  10. Pengajian PhD adalah “lonely journey in your own world” atau kembara seorang diri dalam dunia sendiri. Hidup sorang-sorang dalam dunia sendiri. Orang lain tidak faham masalah kita. Jika kita bingung maka kita bingung sendiri. Jika kita jatuh maka kita bangkit sendiri. Keluarga boleh bagi moral support tetapi solusinya kita cari sendiri.
  11. PhD bukan Doctor of Philosophy tetapi “Permanent Head Damage” atau “pecah kepala”. Ketika orang lain sibuk beraya tetapi kepala kita pening dengan 1,001 persoalan tesis PhD.
  12. Namun begitu, saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang berkeras mahu sambung pengajian PhD. Moga sukses! Salam hormat.

Dr. Abdél Rahmanov
14 Mei 2022

—–

Komen dari Mohd Shah Rizal Samsudin:

Saya mohon maaf komen, kerana tulisan saudara melintas di wall saya.

Maaf, saya sangat tidak bersetuju dengan tulisan saudara/ustaz. Saya juga datang dari industri, ada professional certificate (Ir.) dan sedang dalam pengajian PhD. Insha-Allah sedang dalam fasa akhir untuk menghantar draft thesis.

Tulisan ini sangat kontradik kerana saudara claim dihujungnya yang saudara juga punya PhD.

Ironinya jika seseorang dalam industri datang kepada saya untuk menyambung pengajian dalam PhD, saya tidak akan memberikan komen negatif, tetapi saya akan memberikan galakan.

Di sini, saya berikan sebab kenapa orang industri perlu sambung PhD:

  1. Industri terlalu banyak rencam, perlukan anjakan paradigma. Selain mengambil sijil professional contohnya Ir, Ar, Sr, etc… PhD akan beri tambah nilai dalam berfikir secara sistematik dan analytic. Sangat bagus dalam posisi decision maker.
  2. PhD mengajar untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan berdisplin. Bukan syok sendiri. Masalah yang diselesaikan mengikut disiplin akan menghasilkan ilmu yang meyakinkan berbanding penyelesaian masalah secara anggapan atau assume sahaja.
  3. PhD mengajar untuk melihat masalah secara inside out. Di dalam pengajian PhD kitalah bos, kitalah manager, kitalah kuli. Ini dapat memberikan satu pemikiran baru, untuk menyediakan banyak alternatif di dalam perancangan, sebab kita juga sendiri yang akan buat kerja itu.
  4. Masalah peluang kerja, bukan masalah mereka yang datang dari industri, tetapi masalah bagi yang baru nak masuk industri. Masalah ini bukan dalam peringkat PhD, tetapi berlaku dalam semua peringkat pasca pengajian baik Diploma, Ijazah, Master etc. Mengkhususkan kesusahan mencari kerja hanya kepada peringkat PhD sangat tidak seimbang. Kalau rasa over qualified, mintalah kerja itu pakai sijil Degree sahaja. Simpan elok-elok sijil Master dan PhD itu. Esok-esok nak naik pangkat baru ‘publish’ yang dah ada sijil-sijil akademik yang lebih advanced.
  5. Seseorang pernah menasihatkan saya. Jangan tunggu peluang datang baru nak buat. Tapi buat dulu, sementara tunggu peluang datang. Kalau datang dari industri, rasa perlu sambung PhD, silakan sambung. Mungkin sekarang tak akan guna PhD itu, tapi masa depan siapa yang tahu?
  6. Macam mana nak bagi nampak tak lawan tauke dalam industri? Jawapannya ada tiga. Humble, humble dan humble. Alhamdulillah rata-rata yang saya kenali, apabila graduate dari PhD menjadi orang yang sangat humble. Terhantuk dan merasai kesusahan itu, merasai betapa ‘bodoh’nya aku kerana banyak lagi tidak tahu. Pendek kata, pandai-pandailah bawa diri supaya orang atas tak rasa kita mencabar mereka.
  7. Akhir sekali, ambil PhD bukan atas title doktor itu tetapi saya nampak ianya adalah legasi daripada sahabat, tabie, tabien dan ulama-ulama. PhD ajar cara disiplin ilmu itu wujud. Ajar bagaimana sesuatu teori itu di’gasak’ dan di’lanyak’ supaya ianya jadi betul-betul satu ilmu yang diiktiraf. Tidak dinafikan dunia research juga ada ‘dark side’ tetapi itu bukanlah alasan yang PhD itu tiada nilai.

Bagi yang nak sambung PhD. Teruskan! Apa yang perlu diperbetulkan ada mind setting dan determination. Saya juga ada sangka baik, mungkin saudara seiringan dengan tulisan saya, namun saudara menulis dalam bentuk ‘leteran’ untuk meletakkan cabaran kepada mereka yang ‘insist’ untuk meneruskan pengajian. Apa-apapun, terima kasih di atas penulisan ini dan Selamat Hari Raya.

BACA: Jumlah Graduan PhD Dipertikai, Majlis Konvokesyen UPM Cetus Kontroversi

Sumber & kredit foto: Facebook Abdel Rahmanov