
Sakit Kepala Dan Demam Lepas Terima Vaksin, Ahli Kimia Kongsi Jenis-Jenis Panadol Ikut Kesesuaian
Jenis-Jenis Panadol Ikut Kesesuaian.
Malaysia kini sedang giat menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Difahamkan, seramai 2.3 juta rakyar telah menerima vaksin sejak dimulakan Februari lalu.
Rata-rata mereka yang sudah menerima suntikan vaksin berkongsi pengalaman menerima beberapa kesan sampingan selepas disuntik.
Antara kesan sampingan yang dialaminya ialah sakit kepala, menggigil, lesu sehingga demam. Namun, jangan khuatir kerana kesan sampingan itu merupakan perkara biasa yang dihadapi penerima vaksin.
Menurut pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, ia juga merupakan petanda yang positif memandangkan badan penerima bertindak balas dengan vaksin tersebut.
Namun jika seseorang itu tidak mempunyai kesan sampingan vaksin tersebut, ia tidak bermaksud badan seseorang itu tidak memberikan respons terhadap vaksin kerana kesan sampingan berbeza mengikut individu.
Pihak kesihatan juga menyarankan penggunaan paracetamol jika berasa sakit kepala atau demam.
Terdapat beberapa jenis paracetamol atau sinonim dengan nama panadol yang ada dijual di pasaran.
Bagaimanapun, tidak semua jenis panadol sesuai digunakan untuk semua orang. Seorang ahli kimia, Mas Faiz berkongsi jenis kandungan, kebaikan dan kesan sampingan pengambilan paracetamol ini.
Jom baca penjelasan Mas Faiz ini.
Jenis-jenis panadol mengikut kesesuaian.
1. Panadol Actifast
Paling popular, tapi berhati hati. Sebab ada kandungan ion garam Natrium (Na+) yang tinggi sebanyak 173mg per tablet. Ambil maksima 2 biji sahaja.
Natrium bagi mudah hadam dan diserap laju diusus kecil. Sebab itu namanya fast. Yang ada darah tinggi, elakkan.
2. Panadol Optizorb
Ini formulasi baharu. Paras terapeutik laju dalam 20 minit. Formulasi optizorb ini menggunakan Calsium Carbonate (CaCO3) dan alginic acid untuk menggantikan ion Na+ supaya mudah hadam.
Kandungan garam rendah jadi ia lebih selamat berbanding Actifast namun sedikit berasid, perlu alas perut sebelum makan panadol jenis ini.
3. Panadol Extra
Gabungan paracetamol dan 65mg kafein. Sesuai untuk migraine atau sakit kepala yang kuat. Kafein ialah sejenis analgesik yang berkeupayaan untuk menahan sakit.
Yang banyak minum kopi dan merokok, jangan ambil jenis ini. Tahap maksima kafein sehari ialah 500 mg. Secawan kopi ada 80 – 100mg kafein.
4. Panadol Extend
Tahan lama sehingga 6-8 jam manakala panadol biasa 3-4 jam. Mempunyai dua lapisan yang bertindak memanjangkan tempoh penyerapan seterusnya mengekalkan paras terapeutik pada tempoh yang lebih lama.
Sesuai untuk kesakitan kronik yang mengganggu urusan kerja yang memerlukan penumpuan lebih lama.
5. Panadol Soluble
Formulasi khas untuk yang sukar telan ubat sebab pahit. Campuran ion garam Na+ sangat tinggi, 450mg per tablet.
Makan sebiji sudah memadai. Jangan lebih 2400mg ion Na+ sehari. Kita makan lauk pun ada garam lagi. Tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai darah tinggi.
6. Panadol Menstrual
Khusus buat wanita pada tempoh PMS dan semasa awal haid datang. Memberikan kelegaan pada senggugut dan gabungan bersama pamabrom 25mg membantu menyingkirkan air lebihan yang terkumpul disebabkan perubahan hormon semasa haid.
Kebanyakan doktor menyarankan orang ramai mengelak pengambilan paracetamol (jika perlu) sebelum mendapatkan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Twitter Mas Faiz