
Saintis Malaysia Berjaya Cipta Kit Ujian Pantas COVID-19
Sepasukan saintis Malaysia berjaya menghasilkan kit ujian pantas atau rapid test kit pertama di dunia yang mempunyai ketepatan bacaan sama dengan ujian dilakukan di makmal.
Inovasi itu dihasilkan kumpulan saintis diketuai Prof Madya Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim, iaitu rakyat Malaysia pertama yang melancarkan alat sensor deria agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) bagi mengukur dan memantau organisma satu sel di angkasa.
Pasukan ini menjadi antara 15 finalis dalam pertandingan yang dianjurkan universiti berprestij Amerika Syarikat (AS), Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Beri penyelesaian lebih tepat dan murah untuk saringan COVID-19
Menurut Prof Madya Dr Wan Wardatul Amani, teknologi yang sedang dibangunkan mereka mungkin boleh memberikan penyelesaian lebih tepat dan murah untuk saringan COVID-19, berbanding dengan apa yang ada pada masa ini.
Kit ujian pantas dihasilkannya itu mampu mengesan COVID-19 menggunakan air liur berbanding teknologi sedia ada. Inovasi dihasilkannya mampu mengesan COVID-19, walaupun air liur individu terbabit tidak mengandungi banyak virus lain pada kadar lebih murah dan cepat.
Katanya, projek itu asalnya adalah cubaan untuk membangunkan alat bacaan glukos lebih baik yang mampu mengesan kandungan gula melalui air liur.
“Inovasi ini bermula apabila saya dengan usaha sama Malaysian Relief Agency (MRA) membangunkan sensor untuk mengesan bakteria berbahaya yang digunakan ketika kejadian banjir di Kuala Krai, Kelantan, pada 2014.
“Bagaimanapun, kumpulan saya mula memikirkan idea untuk bantu memerangi COVID-19, ketika wabak itu melanda seluruh negara. Daripada situ kita cuba kembangkan teknologi digunakan bagi saringan COVID-19,” katanya.
Buat masa ini, rakan sepasukan, Iqbal Shamsul, yang merupakan CEO nanoSkunkWorkX Sdn Bhd, berkata pihaknya sedang mencari dana untuk memasarkan alat berkenaan, selain mensasarkan Malaysia sebagai hab inovasi terbabit.
Selain itu, turut berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi membentangkan hasil inovasi berkenaan.
Difahamkam mereka sedang menunggu maklum balas daripada National Technology & Innovation Sandbox (NTIS), selain mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang menolak permohonan mereka.
“Kita berharap Malaysia mampu menjadi hab penghasilan alat ini kerana ia adalah hasil inovasi anak tempatan, selain sensor strip bagi alat ini boleh dijual pada harga kurang RM4, jika ia dipasarkan secara meluas nanti,” katanya.
Sebelum ini, MyEG pernah mendakwa mengeluarkan kit ujian pantas 30 minit pada harga RM99 tetapi KKM mengatakan kit tersebut adalah palsu.
Sumber: BH