Terminator

Saintis Berjaya Cipta Robot Cecair Logam Ala ‘T-1000’ Dalam Filem Terminator 2

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Robot yang boleh mencair dan kembali mengukuh semula ketika melalui ruang yang sempit seperti watak antagonis T-1000 dalam filem Terminator 2: Judgment Day dilaporkan berjaya dicipta oleh satu pasukan saintis antarabangsa.

Robot kecil unik tersebut berupaya dihasilkan dengan membenamkan ketulan kecil neodymium magnetik, boron dan besi ke dalam galium cecair iaitu logam yang mempunyai takat lebur yang sangat rendah.

Magnet kemudiannya digunakan untuk memerintahkan robot kecil itu mencair dan berubah menjadi lumpur sebelum membimbingnya melalui celah palang sangkar lantas mengukuhkannya kembali ke bentuk asal di bahagian sisi yang lain.

“Zarah magnet yang digunakan mempunyai dua peranan. Salah satunya ialah menjadikan bahan responsif kepada medan magnet yang berselang-seli, jadi anda boleh memanaskan bahan dan menyebabkan perubahan fasa melalui induksi.

“Tetapi zarah magnet juga memberikan robot mobiliti dan keupayaan untuk bergerak sebagai tindak balas kepada medan magnet,” jelas Carmel Majidi, Jurutera Mekanikal di Universiti Carnegie Mellon.

Jurutera The Chinese University of Hong Kong, Chengfeng Pan yang merupakan penyelidik utama dalam projek itu pula berkata, “Memberi robot keupayaan untuk bertukar antara keadaan cecair dan pepejal membantu menjadikan alat itu multifungsi”.

Robot kecil yang dikawal secara magnetik itu juga dilaporkan berupaya melompat melepasi halangan, dinding dan membelah dua untuk melaksanakan beberapa tugas seperti pematerian litar, menghantar ubat dan membersihkan bendasing.

Paling menarik, projek tersebut sebenarnya turut mengambil inspirasi daripada gamat, makhluk laut yang boleh bertukar daripada keadaan kaku kepada lembut apabila diperlukan.

Teknologi perubahan bentuk seperti ini dipercayai oleh para saintis dapat diaplikasikan dalam bidang perubatan dan teknologi canggih pada masa hadapan.

Terminator

BACA: Polis Robot ‘Pembunuh’ Lengkap Dengan Senjata Api Bakal Digunakan Di San Francisco

Sumber: Utusan Malaysia