Pencemaran Air Selangor Unsur Sabotaj

Sabotaj Dengan Niat Datangkan Mudarat Air Selangor – Dua Individu Didakwa Mengikut SOSMA

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Belakangan ini, penduduk Selangor menghadapi masalah kekerapan gangguan bekalan air yang menyebabkan ramai meluahkan rasa kecewa dan memohon pihak berkaitan agar menangani isu berkenaan dengan bertanggungjawab.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan terdapat unsur-unsur sabotaj sehingga menyebabkan sumber air mentah tercemar.

Terkini, dua lelaki menjadi individu pertama berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila didakwa atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air dan lima pertuduhan lain berhubung pencemaran Sungai Selangor, tiga minggu lalu.

Menurut sumber, mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibaca.

Mengikut pertuduhan pertama, kontraktor jalan, R Nathan, 43, dan pengarah sebuah syarikat, Lim Kian Aik, 42, didakwa bagi mencapai niat bersama, telah melakukan sabotaj dengan niat mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di Selangor.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, di sini antara 2 hingga 10 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Punca Kenapa Selangor Gangguan Air
Sumber: Google/ Fauzi Suhaimi

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dipertuduhkan itu, disenaraikan di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan yang menggunakan prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Bagaimanapun, peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Nathan memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan tindakan pendakwaan yang tidak menawarkan jaminan adalah bersifat ultra vires (melampaui kuasa).

Sementara itu, peguam Harcharanjit Singh yang mewakili Kian Aik membuat permohonan sama, dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dilakukan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan pertama itu.

BACA: Ini Sebab Kenapa Selangor Sering Alami Masalah Gangguan Bekalan Air

Sumber: BH