Sabah Perkenal Operasi Balai Bomba Atas Air Pertama Di Malaysia

Sudah memulakan operasi hari ini, Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia di daerah Semporna, Sabah merupakan balai bomba atas air yang pertama dibina di Malaysia.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, balai bomba yang dibina dengan kos RM200,000 lengkap dengan kemudahan bot bagi mempercepatkan respon anggota bomba terhadap kejadian kebakaran serta kecemasan lain.

Kemudahan bot yang ada ialah bot memadam kebakaran, bot operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan bot EMRS.

Balai Bomba Pertama Atas Air Di Malaysia

Ini kerana respon dari balai bomba darat akan mengambil masa untuk menurunkan bot berbeza dengan adanya balai bomba di atas air.

Di Sabah, risiko kebakaran adalah lebih tinggi terutamanya kawasan penempatan pantai timur Sabah, utara Sabah dan sebahagian pantai barat selatan.

Menempatkan 20 orang anggota pasukan bomba bantuan yang terdiri daripada penduduk setempat, kesemua daripada mereka sudah mendapat latihan kebombaan selama lima bulan serta mempunyai pengetahuan tentang kawasan air.

Berkemungkinan besar akan ditambah di masa akan datang, pihak bomba meletakkan target pembinaan di kawasan berisiko tinggi.

Sumber: Sinar Harian