
RON95/97/100 – Mana Lebih Sesuai Dan Jimat Untuk Kereta Anda?
RON95 atau RON97? Kuning atau hijau? Persoalan tersebut sering kali kita ungkitkan dalam kehidupan seharian namun hingga kini kita masih mengharapkan kepastian. Betul tak?
Dr Aid Fawzal melalui laman Facebooknya telah membuat satu perkongsian menarik mengenai persoalan ini bagi menjawab kemusykilan orang ramai mengenai jenis minyak petrol RON.
Informasi yang diperolehi oleh Dr Aid ini adalah hasil dari himpunan soalan rakan-rakan followers beliau yang dikemukakan kepada seorang Jurutera Analisa Prestasi Enjin yang kini menjadi pensyarah; Ir. Fadzil ZA dari Centre of Automotive & Powertrain Technology – CAPT, UTHM.
Terima kasih Dr Aid Fawzal dan Ir. Fadzil ZA di atas perkongsian yang sungguh bermanfaat ini!
SOAL JAWAB
1) Apa itu RON?
RON adalah singkatan daripada Research Octane Number. Ia adalah ukuran kebolehrintangan minyak petrol terhadap ‘knocking’.
‘Knocking’ pula adalah kejadian letupan tidak terkawal yang terjadi di dalam kebuk pembakaran. Dan kejadian ‘knocking’ ini tidak memberikan kuasa yang positif malah boleh membawa kecelakaan kepada enjin.
——
2) Apa beza RON95/97/100?
Sebenarnya nilai tenaga (calorific value) untuk petrol dengan RON95 atau, RON97 atau RON100 semua lebih kurang sama ya. Yang membezakannya adalah kualiti melawan sifat ‘knocking’ (anti-knock quality).
Dengan itu, tiada isu RON mana yang lagi ‘power’. Ini kerana kandungan tenaganya sama sahaja. Yang bagi lebihan kuasa tu bagaimana enjin menggunakan kelebihan bahan bakar tersebut secara efektif.
——
3) Apakah perkaitan antara RON dengan enjin?
Pertama sekali, RON ni berkadar langsung dengan nisbah mampatan (compression ratio) dan bukannya saiz enjin anda (cc, cubic centimetres atau L, liter).
Zaman dulu, penggunaan RON95/RON97 memang berkait rapat dengan nisbah mampatan enjin.
- Nisbah mampatan rendah = pakai RON95
- Nisbah mampatan tinggi = pakai RON97/100.
Tapi zaman la ni lain.
Disebabkan perkembangan teknologi yang semakin kompleks dan canggih, enjin kereta anda sudah mampu ubah talaan mengikut RON yang digunakan. Dengan tu, nilai RON sudah kurang perkaitan dengan nisbah mampatan.
Apa pun, ‘general rules’ RON dengan nisbah mampatan ini harus diamati kerana enjin-enjin dengan teknologi rendah masih kuat kebergantungannya.
Manakala enjin moden, tidak lagi.
Contohnya enjin Mazda Skyactiv G. Enjinnya aspirasi natural dengan nisbah mampatan setinggi 14:1. Secara am, ia sepatutnya menggunakan RON100, tetapi tidak. Dengan kecanggihan rekabentuk kebuk pembakaran dan talaan, ia hanya perlukan RON95 tanpa sebarang masalah.
——
4) Kenapa enjin moden kurang sensitif dengan RON?
Sebab utama enjin moden tidak lagi sensitif dengan RON adalah disebabkan kemajuan Engine Control Unit (ECU).
ECE moden membenarkan enjin beroperasi dalam julat (range) RON yang berbeza. Contohnya bermula daripada RON85 sehungga RON100. ECU moden dapat mengadaptasi nilai semburan bahan api dan ‘ignition’ berdasarkan kualiti pembakaran bagi mengelakkan ‘knocking’ berlaku.
——
5) RON yang tinggi sesuai untuk enjin apa?
RON yang tinggi lebih sesuai untuk digunakan untuk engine yang menggunakan induksi paksaan (forced induction) seperti supercharger (SC) atau turbocharger (TC).
Ini kerana enjin yang ade SC/TC lebih terdedah kepada ‘knocking’ disebabkan angin yang masuk bertekanan dan bersuhu tinggi. RON yang tinggi lebih sesuai kerana ia dapat mengurangkan atau mengelakkan berlakunya kejadian ‘knocking’ yang akan kemerosotan prestasi dan juga bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin.
——
6) Jadi, adakah semua engine SC/TC ni kena pakai RON tinggi?
Tidak, sebab ECU moden mempunyai talaan untuk beroperasi dalam julat RON yang berbeza. Contohnya julatnya di antara RON87 ke RON100.
Pun begitu, kadar prestasi optimum dan penggunaan bahan api yang terbaik akan terhasil pada tahap RON yang disarankan dalam buku manual/buku spesifikasi kereta anda.
——
7) Apa kesan pakai RON luar dari julat (range) yang dibenarkan?
Katakanlah sebuah enjin tu ditala untuk gunakan julat RON87 ke RON100. Jika kita gunakan RON80, ECU akan hanya mampu gunakan ‘mapping’ untuk RON87 je. Dengan itu kemungkinan untuk enjin anda knocking teruk boleh berlaku kerana ECU tidak dapat mengawal sebaiknya.
Begitu juga jika anda gunakan minyak perlumbaan seperi RON110 ke dalam ‘enjin standard‘ kereta anda. ECU hanya akan gunakan talaan yang sesuai untuk RON100. Maka, tiada kelebihan yang akan dapat jika kita gunakan.
——
8) Sesuai ke RON 97/RON 100 untuk kereta cc rendah?
Seperti yang dijelaskan sebelumnya, pemilihan nak pakai RON apa bukan atas dasar saiz enjin; cc. Tetapi berdasarkan reka bentuk enjin dengan landasan nisbah mampatan. Jika mampu, silakan.
——
9) Mana satu lebih jimat? RON rendah atau RON tinggi?
Hal ini kena tengok unit ukuran. Kebanyakannya kita bila buat kiraan penjimatan hanya agak-agak atau hanya lihat berapa jarak perjalanan.
Boleh lihat tulisan Dr Aid *sebelum ini yang menisbahkan jarak perjalanan dengan harga isian petrol untuk dapatkan kepastian adakah kereta anda jimat bila gunakan RON yang berbeza.
Berikut merupakan *perkongsian Dr Aid sebelum ini:
BETULKAH GUNA RON97 LEBIH ‘JIMAT’ DARIPADA RON95?
Saya tak ada jawapan khusus untuk persoalan ini. Saya sendiri guna diesel dan kereta petrol saya guna RON98. Tetapi…
Tetapi, saya nak ajar rakan-rakan semua macam mana nak betul-betul pastikan ia jimat.
——
Katakanlah, kereta kita Perodua Myvi 1.3 dengan saiz tangki 40 litre. Tangki simpanannya (reserve tank) 10% dan tinggal 1 bar (sukatan) minyak 10%. Baki ruangan untuk diisi penuh adalah 32L.
Bila isi minyak petrol RON95, kita dapat jalan dengan jarak 400km.
Bila isi minyak petrol RON97 pula, kita dapat jalan dengan jarak 450km.
Secara mudah, kita akan fikirkan yang, “Wah!! RON97 boleh pergi lebih 50km la! Jimat ni”. Kan??!?
Tetapi jimat ni ada beberapa perspektif, antaranya:
- Jimat pengguna bahan api, dan
- Jimat harga (duit).
Jom kita kira semula untuk tengok betul ke guna RON97 ni lebih jimat duit.
Apa yang anda perlu buat adalah ambil nilai harga bayaran untuk tangki penuh tu dan bahagikan dengan jarak perjalanan.
Contohnya:
a) RON95 RM2.05. Isi 32L jadi bayar RM65.50 dapat jalan 400km.
- RM65.50 / 400km = RM 0.16/km
b) RON97 RM3.91. Isi 32L jadi bayar RM125.12 dapat jalan 450km.
- RM125.12 / 450km = RM 0.28/km
Nah… Jika ini yang berlaku, maka RON97 tu jimat pada sudut penggunaan minyak (unit mpg, l/km, 100km/l). Tapi TAK jimat pada sudut harga bayaran (duit).
Cuba rakan-rakan buat eksperimen ini sendiri untuk menjawab, “Adakah kereta anda jimat pada sudut jarak perjalanan dan juga harga bila gunakan RON yang lebih tinggi?”
Kongsikan hasil kajian anda di sini.
——
Kenapa boleh jimat pengguna minyak (jika ini berlaku)?
Jimat pada pengguna minyak bahan api ni bukan sebab nilai RONnya yang tinggi, tapi minyak premium mempunyai bahan tambahan atau aditif (additives) yang lebih baik.
Aditif inilah yang menjadi punca penjimatan lebih.
*Total jarak perjalanan tu haruslah ukuran perjalanan yang nyata ya. BUKAN nilai jarak yang tertera pada paparan kereta.
**Pastikan anda guna gred minyak yang sesuai dengan keperluan enjin kesayangan anda.
—–
*Kemas Kini 1 Jun*
Harga RON97 terkini adalah RM4.70.
Maka kiraan kedua perlu ditukar menjadi:
b) RON97 RM4.70 Isi 32L jadi bayar RM150.40 dapat jalan 450km.
- RM150.40 / 450km = RM 0.33/km
TAMBAHAN
*Dr Aid tambah: Kelebihan kuasa yang dirasakan pada RON yang lebih tinggi boleh jadi disebabkan kandungan aditif (bahan tambahan) yang lebih baik dan berkualiti dalam petrol. Tapi bukanlah RON tu penentunya.
**Dr Aid tambah: Kereta yang perlukan RON tinggi seperti RON97/98/99 jika kita gunakan RON rendah seperti RON95 masih boleh digunakan dengan prestasi yang menurun. Dalam jangkamasa panjang, sensor oksigen boleh rosak disebabkan enapan daripada pembakaran tak sempurna. Berjaga-jaga.
KESIMPULAN
Pakailah RON yang sesuai dengan enjin anda mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Namun, jika anda mahu guna RON yang berbeza, ini tidak akan merosakkan enjin anda secara langsung.
Kuncinya adalah:
- Enjin yang direka untuk menggunakan RON rendah, boleh berfungsi dengan baik apabila gunakan RON tinggi.
- Tetapi enjin yang direka untuk gunakan RON tinggi, TIDAK boleh berfungsi dengan baik dengan RON rendah.
Tepuk dada, tanya selera, pilihan di tangan anda.
BACA: Boleh Ke Kita Campur Minyak RON95 Dengan RON97? Adakah Beri Kesan Pada Enjin?
Sumber: Facebook Dr Aid Fawzal