
Roller Coaster Asalnya Dicipta Untuk Elak Orang Bermaksiat
Roller Coaster Asalnya Dicipta Untuk Elak Orang Bermaksiat.
Roller coaster dikenali sebagai salah satu permainan yang membuatkan adrenalin tidak menentu.
Membayangkan badan berpusing 360 darjah atau ketika melalui ketinggian dan selekoh curam, pasti membuatkan anda terasa meremang bulu roma tetapi memang mengujakan.
Pernahkah anda terfikir bagaimana asal-usul roller coaster dicipta?
Siapa sangka di sebalik permainan yang mencetuskan adrenalin ini, ada kisah sejarah yang menarik.
Ada pelbagai variasi mengenai sejarah awal penciptaan permainan roller coaster ini.
Dikatakan, konsep terawal permainan roller coaster dicetuskan oleh sekumpulan warga Rusia yang ingin mencipta permainan pada musim sejuk disekitar abad ke-16.
Mereka membuat kereta api dengan trek luncur ais, sehingga pada waktu itu permainan ini hanya dapat dilakukan pada musim sejuk.
Namun begitu, disebabkan Ratu Catherin II begitu menyukai permainan ini, akhirnya permainan kereta luncur itu dikembangkan dengan menggunakan roda agar dinikmati juga di musim panas.
Roller coaster pertama ini dibina pada abad ke-17, tepatnya di bukit sekitar Saint Petersburg, Rusia. Permainan itu semakin lama semakin popular di masyarakat Rusia.
Namun, terdapat pertelingkahan antara para sejarawan mengenai asal-usul permainan roller coaster.
Walaupun dikatakan roller coaster berasal dari Eropah, tetapi permainan itu lebih berkembang di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kisah perkembangan permainan itu di sana amat berbeza sekali yang mana ia asalnya dicipta bukan bertujuan sebagai hiburan waktu lapang.
Roller coaster dicipta untuk mengelakkan orang ramai daripada bermaksiat
Pada sekitar 1880-an, lelaki selalunya akan ke saloon dan rumah pelacuran sebagai hiburan mereka.
Sakit mata dan hati melihat keadaan itu, seorang ahli perniagaan Amerika, LaMarcus Thompson membina roller-coaster sebagai alternatif yang lebih menghiburkan dan suci dari dosa.
Ia pertama kali dibina Thompson di Coney Island, tempat paling tidak bermoral di New York ketika itu.
BACA: Tak Boleh Jerit Naik Roller Coaster, Jaga Jarak Antara Normal Baharu Di Taman Tema Pasca COVID-19
Bandar New York ketika itu menjadi pusat hiburan, perjudian, tarian dan rumah pelacuran selepas tamatnya Perang Saudara di Amerika Syarikat (AS).
Thompson walaupun seorang yang kaya, dia tetap mengamalkan gaya hidup sederhana kerana sangat taat pada agama.
Dia khuatir peningkatan kekayaan negara akan memberi kesan buruk kepada gaya hidup golongan muda di negara itu.
Thompson mendapat ilham untuk mencipta permainan roller coaster apabila terlihat sekumpulan manusia menaiki kereta api lama yang digunakan di kawasan perlombongan untuk berseronok.

Dia mempatenkan kereta api roller coaster yang disebut Switchback Railway di Coney Island pada tahun 1884. Kemudian, dia segera mempromosikan dan permainan itu menjadi popular di AS.
Tidak seperti roller coaster pertama yang mempunyai trek tegak lurus, Thompson memberikan sedikit kelainan.
Roller coaster buatan Thompson dibuat melingkar seperti angka lapan dan lebih mencabar pada tahun 1872.
Kejayaan La Marcus Thompson mencipta permainan yang mengujakan itu dipuja-puja sehingga digelar bapa pelbagai paten roller coaster di taman tema.
Agar mampu kekal bersaing, Thompson terus membina roller coaster yang lebih besar dan lebih kreatif.
Dari tahun 1884 hingga 1887, Thompson menambahkan ciri-ciri baharu yang berkaitan dengan hukum fizik.
Kini, banyak negara berlumba-lumba mempatenkan roller coaster paling gerun, curam dan mengujakan sebagai hiburan kepada manusia.
Sumber: Detik, Popular Mechanics
Trending now



